Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Saturday, July 28, 2007

PERHATIAN! PROGRAM DITUNDA KE TARIKH YANG AKAN DIMAKLUMKAN KEMUDIAN - HARAP MAAF!
POST-MORTEM PILIHANRAYA KECIL IJOK &
DISKUSI KECONDONGAN TREND PENGUNDIAN
Tetamu Khas:
AHMAD LUTFI OTHMAN
Ketua Pengarang Kumpulan Harakah
CIKGU HAJI ISHAK SURIN
Pengarah Jabatan Pilihan Raya (JPN) Wilayah Persekutuan
CIKGU RADHI
Pengarah Jabatan Pilihan Raya (JPN) Selangor
Moderator: TARMIZI MOHD JAM
5hb. Ogos 2007: 9.00 Malam
MARKAZ PAS KAWASAN BATU, TAMAN MELEWAR
Semua Pimpinan Kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat
dan Cawangan-Cawangan Seluruh Kawasan Batu Diwajibkan Hadir
Anjuran: Lajnah Penerangan, Dakwah & ICT PAS dan
Lajnah Politik & Organisasi PAS Kawasan Batu
CERAMAH MEGA 50 TAHUN MERDEKA:
UMNO BUKAN PERINTIS KEMERDEKAAN TETAPI TALIBARUT PENJAJAH BRITISH!
Pemidato Khas:
DR. WAN ABDUL RAHMAN BIN WAN ABDUL LATIFF
Pengarah CERI dan mantan Pensyarah Sains Politik UKM
CIKGU HAJI ISHAK BIN SURIN
Mantan Setiausaha Agung Partai Rakyat sewaktu Ahmad Boestaman jadi Presiden
Pengasas Partai Marhain. Pernah ditahan ISA

30hb. Julai 2007 (Isnin) 9.30 Malam
PASTI Kg. Padang Balang, Sentul.

Orang ramai dijemput hadir dan sila panjangkan maklumat ini kepada sasaran!
Anjuran Bersama:
Lajnah Penerangan, Dakwah & ICT PAS Kawasan Batu & PAS Cawangan Kg. Padang Balang

Cerpen: Haji Godak & Iltizamnya "Mengodak" Partai Kopiah Putih


"YDP, Haji Is telah menyampaikan sijil keahlian kepada ahli-ahli baru kira-kira seminggu lalu. Di PASTI Padang Lalang, sebelah Taman Memanda Menteri. Ramai juga yang turun. TYDP, Haji Suhai, SU Haji Mael-lah yang beriya-iya menjamu mereka dengan briani kambing kurma. Aqiqah, katanya."

Nukilan ABDUL HADI TULIS
Kg. Bandar Dalam pinggir Padang Balang

MALAM itu, hujan turun macam muntah-muntah katak. Jam didinding sudah menujah angka 8.00 malam. Pak Aji Godak membelek-belek surat undangan dari Lajnah Kemasyarakatan & Kejiranan Parti Ketayap Putih Kawasan Halilintar. Dikelihnya satu persatu agenda.

“Kena pergi ni. Nanti apa kata Ustaz Fisolullah. Penat dia hantar surat,” bisik hati kecil Pak Aji Godak tak sampai hati. Dicapainya kunci kereta Gen 2 yang baru dibelinya bulan lepas. Memang niat Pak Aji beli kereta untuk memudahnya ke program parti dan ke markaz kawasan.

Dia tahu, kalau dia tak pergi mesyuarat, siapa lagi yang boleh diharap Ustaz Fisollullah. Pak Aji Godaklah yang mengodak ahli-ahli cawangan supaya bangkit dan datang mengimarahkan program anjuran Kawasan Halilintar.

Pernah dulu, Pak Aji ditangkap polis kerana mempengerusikan Ceramah Tok Guru Haji Dollah yang begitu tersohor. Dia tidak mengalah! Dia yang bagi kata dua pada polis. Pasal permit, kata Pak Aji, partinya telah mohon tapi pihak polis tak respon. Soal polis tak bagi, itu bukan urusan dia. Begitulah tegasnya Pak Aji Godak.

Hingga Inspektor Ali Keramat terkumat-kamit menepis hujah Pak Aji. Akhirnya ceramah itu diteruskan. Kalau tak silap, Haji Mahfuzah jadi penceramah keduanya. Sebab dia yang pam semangat orang-ramai bagi derma. Banyak juga dikutip malam itu. Agaknya lebih RM13,000.00.

Mesyuarat sudah bermula. Al-Fatihah sudah dibaca. Ustaz Fisollullah minta Pak Aji bentang laporan macam mana Unit Kejiranan Taman Dato’ Memanda Menteri yang diketuai beliau boleh anjur Karnival Kesihatan dengan kerjasama Hospital Tongkah Pecah dan Klinik Kelubi Segar.

Macam biasa. Suara garau ala-ala Mohd Saqun memecah kesunyian mesyuarat itu. Ringkasnya, Ustaz Fisollullah memuji penglibatan Pak Aji dengan masyarakat sekelilingnya. Pak Aji memang menjadi tempat rujukan penduduk taman itu sejak delapan tahun lalu.

Jika ada kenduri-kendara atau kematian, Pak Ajilah orang nombor wahid yang dicari. Kalau balik kampong, maka “pening lalatlah” orang taman itu. Bukan orang taman itu tidak tahu, Pak Aji orang kuat Partai Kopiah Putih. Tahuuuu!

Orang Parti Keris Telanjang tahu. Orang Parti Bintang 14 tahu. Malah Dato’ Hitam Kelabu yang jadi Ketua Cawangan Parti Keris Telanjang yang tinggal tepi penjuru atap Surau Al-Kitabun pun kagum dengan Pak Aji Godak.

Pak Aji Godak boleh diterima oleh semua. Tapi dia tak pernah berkompromi dalam soal dasar parti. Pak Aji bukan hidupan dua alam. Dia ada prinsip. Dia tegas! Soal parti katanya, soal aqidah!

“Agak ana, orang hospital dan klinik tu bagi kerjasama sebab kita mampu kumpulkan masyarakat taman tu. Ana tak dapat rekemen Dato’ Susuk atau Dato’ Hitam Kelabu. Yang ana tahu, Dato’ Hitam cuba ganggu. Dia bagi tahu orang Surau Kitabun, yang Karnival itu program Partai Kopiah Putih. Parti pembangkang katanya,” tegas Pak Aji memulakan bicara.

Karnival itu, betul-betul berjaya. Hampir 80% orang taman itu turun. Walhal, yang mengendalikan Karnival terdiri dari YDP Haji Is, TYDP Ustaz Suhai, Naibnya, Haji Jam dan ramai lagi. Merekalah yang ke hulu dan ke hilir. Ke tengah ke tepi!

Pak Aji Godak mengundang YB Tok Guru Haji Azhari merasmi dan melancarkan Karnival yang julung-julung kali diadakan itu. Entah berapa ribu orang taman itu keluar, susah dibilang dengan jari. Tetapi masa derma darah, Dato’ Hitam kelihatan makin kelabu raut mukanya. Ingat dia, tak dapat sambutan.

“Aku ingat kecik. Beso program tuuu! Yang hospital dan klinik datang buat binatang apa? Aku mesti report dekat Tan Sri Kurap Panau. Tak boleh jadi macam ni. Lambat laun, kalah Keris Telanjang,” bentak Dato’ Hitam kepada dua tiga orang pengampu Cawangan Parti Keris Telanjang, yang melepak kat kedai kopi Tok Mok.

Sejak Parti Kopiah Putih menganjurkan Karnival Kesihatan di taman itu, nama harum Pak Aji terus menyakitkan mata dan telinga Dato’ Hitam dan Dato’ Susuk. Partai Kopiah Putih mula jadi sebutan. Kaunter Borang Ahli yang terletak dekat Gerai Briani Kambing Tok Dol, sebaris Mini Market Kohilal mula jadi perhatian.

Kata Bong Ramli, Setiausaha Pak Aji dalam Unit Kejiranan, sejak karnival sudah 1,231 penduduk taman itu jadi ahli Partai Kopiah Putih. Lebih kurang lima bulan selepas karnival.

YDP, Haji Is telah menyampaikan sijil keahlian kepada ahli-ahli baru kira-kira seminggu lalu. Di PASTI Padang Lalang, sebelah Taman Memanda Menteri. Ramai juga yang turun. TYDP, Haji Suhai, SU Haji Maellah yang beriya-iya menjamu mereka dengan briani kambing kurma. Aqiqah, katanya.

Sejak itu, Pak Aji Godak tidak serik-serik menganjurkan program kemasyarakatan. Dibuatnya ceramah kesihatan “Bahaya Barah Payu Dara” di kalangan kaum ibu di rumah Mak Timah. Dianjurkanya “Kursus Memasak Puding Gula Hangit”. Di rumah dia sendiri, pernah diadakan “Motivasi Keibubapaan”. Diundangnya Dato’ Husin Ali yang tersohor kat tv tiga suku.

Satu ketika, dikumpulnya mat rempit taman itu, dianjurnya sukaneka dan pertandingan motorsikal paling kreatif. Penyertaan percuma. Hadiahnya lumayan juga. Duit RM500. Dia dapat tajaan dari Syarikat Tenggelam Timbul, milik Tok Ngah Jering.

Paling menarik, Pak Aji pernah buat demontrasi memadam api di Tapak Pasar Malam Taman Memanda Menteri. Bomba datang. Apa lagi, pening kepalalah Dato’ Hitam dan suku sakatnya, bila tengok ramai penyokong kuat Parti Keris Telanjang, mengerumun program itu.

Hendak jadi cerita, hari Ahad ini, Pemadam dan Polis sanggup mengadakan Pameran dan Ceramah Anti Dadah kat Surau Kitabun, yang Pak Aji Godak jadi Imam dan jadi Pengerusinya. Maka pening kepala dan muntah tahilah Dato’ Hitam dan Dato’ Susuk berdepan dengan kebijaksanaan pemimpin Parti Kopiah Putih itu, Pak Aji Godak!



EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my



Komentar: Awat Pak Lah Syok Wanita Tak Bertudung?

Oleh TARMIZI MOHD JAM
Timbalan Pengarah JPN (PAS) Wilayah Persekutuan
Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu


Sabtu, 9hb. Jun 2007, Pak Lah telahpun melangsungkan perkahwinan kali kedua. Calon isterinya adalah adik ipar isterinya, Allahyarhamah Hindon Mahmood. Rupa dan gayanya saling tidak tumpah seperti Hindon. Mungkin itu daya pikat yang menyebabkan terburai isi hati Pak Lah untuk melamarnya.

Pak Lah nampaknya punyai citarasa tersendiri. Beliau lebih gemar memilih perempuan yang tidak bertudung. Dulunya, Hendon juga tidak bertudung dan kini Jeanne Abdullah juga melangsungkan gaya yang sama - tidak bertudung.

Apakah pegangan Pak Lah terhadap perempuan muslim yang bertudung, kurang diketahui. Tetapi, anaknya Nori Abdullah yang juga isteri kepada Khairi Jamaluddin juga memilih gaya tidak bertudung, dengan fesyen rambut sama seperti ibunya Hendon.

Entah kenapa agaknya, mungkin untuk memikat Pak Lah atau memang Pak Lah punyai citarasa begitu, Jeanne Abdullah juga memilih fesyen rambut sama seperti Hendon. Jika digandingkan gambar Hendon dan gambar Jeanne yang diedarkan kepada media hari ini (6hb. Jun 2007), ia menjelaskan lagi keinginan Pak Lah kepada citarasa tersebut.

Apapun niat Pak Lah bukan soalnya. Pak Lah sendiri menafikan bahawa pemilihan Jeanne bukannya wasiat dari Hendon. Hendon katanya dalam satu sidang media, tidak pernah berpesan ataupun berwasiat. Tetapi, Pak Lah mengakui Jeanne adalah adik ipar yang sangat disayangi oleh Hendon.

Apakah sikap Jeanne terhadap Islam Hadhari Pak Lah? Tidaklah diketahui. Namun, Nori dan Marina anak Mahathir telah menunjukkan minat yang serius dalam Sister in Islam, sebuah NGO yang menyokong Islam Hadhari yang liberal.

Kecenderungan Jeanne terhadap pertubuhan NGO itu belum diketahui lagi. Apa yang jelas, bertudung bukan menjadi budaya dalam keluarga baru Pak Lah dengan Hendon dan Jeanne. Mungkin bertudung hanya jadi budaya dalam keluarga Pak Lah di Kepala Batas sahaja.

Soalnya mengapa Pak Lah tidak mendidik isterinya dulu, Hendon dan anaknya Nori agar menutup aurat? Ini bermakna “cucu ulama” tidak pernah menjadi tiket untuk Pak Lah menghayati Islam sebenar, jika soal menutup aurat dipandang remeh kerana kononnya ada perkara yang lebih besar dari isu titik bengit itu.

Ilmu yang Pak Lah tuntut sewaktu di Universiti Malaya dalam jurusan Pengajian Islam dan pendidikan Islam yang diterima dari keluargannya di Kepala Batas juga tidak banyak membantu untuk beliau menyedarkan isterinya dulu, Hendon dan anaknya Nori untuk menutup aurat atau memakai tudung.

Ini adalah satu lagi mercu tanda Islam Hadhari yang sudah didirikan. Jika tudung dicampakkan ke tepi, bagaimana nasib anak-anak muda (remaja) kita yang seluar ketat, sendat, nampak pusat mampu kembali menghayati Islam hakiki. Sudah tentulah Islam yang mereka nampak ialah Islam yang sedang dicipta Pak Lah, Islam Hadhari!

Dan merekapun (anak remaja) agaknya tidak faham siapakah itu As-Shafie dan Al-Ghazali, yang dipuja dan dipuji, yang dicari-cari Pak Lah dalam puisi. Dikhuatiri juga ulama-ulama dan mufti-mufti keliling kelalang Pak Lah juga tumpang keliru, benarkah Pak Lah sedang mencari al-Ghazali dan As-Shafie?

Jutaan tahniah kepada Raja Permaisuri Agong yang baru, kerana menutup aurat dan mantan Raja Permaisuri Agong terdahulu, Aishah yang juga menutup aurat. Satu contoh kepimpinan melalui teladan yang cukup karismatik untuk dihayati rakyat.

Harapan saya, Pak Lah kali ini boleh mentarbiyah isteri barunya, Jeanne Abdullah agar menutup aurat dan bertudung selaras dengan tuntutan agama Islam dan seiring dengan teladan yang ditunjukkan oleh Raja Permaisuri Agong. Barulah, nilai Jeanne Abdullah sebagai wanita nombor satu negara bererti dan bermakna!

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my



Ceramah 30.8.2007: Umno Bukan Perintis Kemerdekaan Tetapi Talibarut Penjajah!


Oleh MOHD FADHLOL HADI
Wartawan Blogpasbatu.Com


Taman Melewar: Benarkah Tunku dan Umno itu perintis kemerdekaan? Menjelang 50 Tahun Malaysia Merdeka, nampaknya Umno beriya-iya sungguh untuk mempalsukan sejarah dan membungkus ingatan generasi silam dengan mengiklan dan berkempen kononnya kemerdekaan hari ini hasil titik peluh Umno.

PAS Kawasan Batu mengambil inisiatif untuk membuka jalan dan membetulkan fakta sejarah yang telah dipesong dan diselewengan oleh pemimpin-pemimpin Umno yang tidak beretika. Di manakah Umno atau Tunku ketika Ibrahim Yaakob dan pemimpim Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) melaungkan kalimat “MERDEKA”?

Mengapa sejarah Ibrahim Yaakob dinafikan. PKMM digelapkan? API dipadam? Pemimpin kemerdekaan awal ditangkap dan disumbat ke dalam penjara oleh penjajah Bristish. Maka muncullah, pemimpin Umno yang memaki topeng Bristish memekakkan laungan “MERDEKA” kononnya mereka juga pejuang bangsa dan mahu menghalau penjajah.

Pada hari Isnin, 30hb. Julai 2007 – PAS Kawasan Batu menganjurkan “Ceramah 50 Tahun Merdeka: Tunku, Umno Bukan Perintis Kemerdekaan Tetapi Talibarut Penjajah”. Ia suatu tajuk yang menarik untuk dikupas. Iya atau tidak? Program ini akan diadakan di perkarangan PASTI Kg. Padang Balang, Sentul.
Dua orang figure penting telah diundang iaitu Dr. Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff. Mantan Pensyarah Sains Politik UKM yang kini menjadi Pengarah CERI, badan bukan kerajaan.

Tetamu khas seorang lagi, Cikgu Ishak Surin. Individu yang mengikuti arus awal kemerdekaan dan bergiat cergas dalam PKMM, kemudiannya API. Bersama idolanya ketika itu, Ahmad Boestaman yang aktif dalam Partai Rakyat hingga dilantik Setiausaha Agung ketika Ahmad Boestaman dipilih Presiden.

Beliau juga adalah wakil calon kepada Ahmad Boeastaman, ketika tokoh karismatik Partai Rakyat itu bertanding di Setapak dan menang. Setelah Partai Rakyat menyertai Front Sosialis, Cikgu Ishak bersama Ahmad Boestaman menubuhkan Partai Marhain di rumahnya di Kg. Bandar Dalam.

Cikgu Ishak pernah dikurung di bawah ISA namun ianya tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berjuang dan menuntut keadilan dan kebenaran. Akhirnya beliau menyertai PAS di awal Kepimpinan Ulama dan antara pengasas akhbar rasmi PAS, Harakah.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

Ceramah Mega 6.8.2007: Wow! Mohd Sabu, Ezam dan Anuar Tahir Gegar Taman Dato’ Senu

Oleh Hj. SUHAIMI ABDUL RAHMAN
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu


Taman Dato’ Senu: Telah lama penyokong alternative tidak didendangkan ceramah di luar Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, yang terletak di Taman Melewar. Bagaimanakah agaknya, sambutan rakyat? Apakah mood pilihan raya kita sudah longlai atau masih berurat besi lagi.

PAS Kawasan Batu mengemukakan anjakan. Tidak lagi melihat Markaz Tarbiyyah PAS Pusat sebagai tempat berceramah untuk rakyat. Mereka yang datang hanya penyokong PAS, PKR. Tidak lebih dari itu. Kini, kami bawa figure rakyat, idola masyarakat musta’dhafin.

Apakah rakyat sudah muak dengan ceramah Haji Mohd Sabu? Ezam Mohd Noor? Pendatang baru, Haji Anuar Tahir? Mereka adalah pejuang untuk rakyat. Wargakota Kuala Lumpur, mengenali mereka. PAS Kawasan Batu memindahkan lokasi, dari Markaz Tarbiyyah seperti lazimnya, kini ke Tapak Pasar Malam, Taman Dato’ Senu, tidak jauh dari Masjid Al-Hidayah.

Bila? Pada 6hb. Ogos 2007 (Isnin) jam 9.00 malam. Sesiapa yang berminat untuk berniaga sila hubungi urusetia (019-3200481 - Hisyamuddin) dan (019-3648805 - Suhaimi). Perjuangan mesti diteruskan dan pastikan pilihan raya umum ke 12 ini, BN dapat dinafikan. Takbir!

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

Interbiu Xklusif: Umno Palsukan Fakta & Nafikan Ibrahim Yaakob. Mereka Talibarut Penjajah!


Muqqadimmah: Nampaknya kerajaan begitu giat berkempen bagi menjayakan sambutan “50 Tahun Kemerdekaan Negara”. Tiada gerakkan yang menyanggah atau membetulkan fakta palsu yang disogokkan kononnya Tunku dan Umnolah yang menggerakkan usaha kemerdekaan. Bagaimanakah laungan “Merdeka” oleh Ibrahim Yaakob? Dan apa kaitannya dengan gerakkan merdeka yang diperjuangkan oleh PKMM, KMM, API dan AWAS sebelum diharamkan penjajah? Ikuti pandangan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, CIKGU ISHAK SURIN yang juga antara aktivis yang terlibat diperingkat awal gerakan kemerdekaan, ketika aktif bersama API. Editor Blogpasbatu.Com, TARMIZI MOHD JAM sempat mengejar dan mengungkapkan view beliau.

TARMIZI: Kerajaan giat berkempen melalui media cetak dan televisyen tentang sambutan “50 Tahun Kemerdekaan Negara”. Tujuannya untuk tanamkan kepercayaan bahawa Umnolah yang mempelopori kemerdekaan. Walhal faktanya palsu...

CIKGU ISHAK SURIN: Memanglah itu yang sedang berlaku. Usaha ini giat dijalankan untuk menafikan gerakkan awal kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kerajaan cuba menonjolkan Umnolah yang mempelopori kemerdekaan. Bagi saya, usaha terancang begini amat dayus dilakukan oleh kerajaan semata-mata untuk mempengaruhi genarasi muda kini akur bahawa Umno dan pemimpin hari ini adalah kesinambungan pejuang kemerdekaan. Umno cuba menafikan fakta sejarah yang sebenar. Siapa Tunku pada waktu merdeka dulu? Siapa Umno? Macam mana Umno itu ditubuhkan? Semuanya ini perlu dikaji semula oleh kita supaya fakta sejarah yang sebenar dapat diketahui oleh genarasi akan datang dan seterusya. Pada saya, Umno begitu takut untuk membongkar rahsia sejarah sebenar berhubung gerakan kemerdekaan ini. Pejuang-pejuang terdahulu seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boeastamam, Dr. Burhanuddi Helmy dan lain-lain cuba dihapuskan dalam buku-buku dan dokumentasi sejarah. Gerakan KMM, PKMM, API dan AWAS juga tidak disebut sebagai pelopor kemerdekaan sedangkan hakikatnya, kumpulan inilah yang mula-mula melaung dan membakar api kemerdekaan.

Maknanya kita ada pandangan kedua dalam isu ini. Umno bukan pelopor kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman bukan Bapa Kemerdekaan. Begitu...

Ya. Ini patut di ketengahkan. Ia bukan idea atau sanggahan membabi buta tetapi ia adalah fakta sejarah. Ia tak boleh ditipu. Sejarah tetap sejarah. Dengan adanya kempen-kempen media cetak dan televisyen ini, kita amat bimbang genarasi muda sekarang dibohongi kerajaan dan Umno khususnya. Mereka mahu fakta sejarah dipesongkan, diseleweng! Dalam hal ini, saya amat bertegas bahawa Umno bukan pelopor kemerdekaan. Umno ditubuhkan untuk menentang pembentukan Malayan Union. Tidak langsung disebut pada masa itu soal kemerdekaan. Sedangkan sebelum itu, telah ada kumpulan tertentu yang bergerak secara tersusun, selepas sahaja tamat Perang Dunia Kedua. Umpamanya penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Diikuti penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhamad. Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Merekalah yang memulakan gerakan tersusun untuk menentang penjajahan Inggeris di tanahair kita. Inilah golongan yang sebenarnya patut diketahui oleh rakyat dan genarasi kini. Bukannya seperti yag diwar-warkan, Umno atau Tunku Abdul Rahman. Sebaliknya, orang-orang ini dilupakan langsung. Akibat laungan kemerdekaan mereka dan keberanian mereka menentang penjajah, maka mereka akhirnya disumbat dalam penjara dan KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan oleh penjajah.

Jadi, bila Umno muncul dalam catatan sejarah sebagai pejuang kemerdekaan...

Selepas pejuang kemerdekaan tulin macam Ibrahim Yaakob, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestaman dan lain-lain dipenjarakan. Selepas KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan. Barulah mereka muncul. Seolah-olah pemimpin-pemimpin Umno inilah yang beriya-iya mahukan kemerdekaan setelah ruang kosong yang ditinggalkan oleh KMM, PKMM, API dan AWAS. Kita kena tahu, Umno ketika ini adalah anak didik penjajah dan bukan penentang penjajah.

Tadi disebut kumpulan awal macam KMM, PKMM, API dan AWAS adalah pejuang tulin kemerdekaan. Kemudian ditahan dan pertubuhan mereka diharamkan. Penjajah pula mengetengahkan Umno hasil kekosongan ini sebab hanya Umno yang boleh meneruskan dasar-dasar penjajah. Soalnya, mengapa penjajah menentang atau tidak bersengkongkol dengan kumpulan pejuang gerakan kemerdekaan tulin yang awal?

Inggeris tahu, mereka yang menggerakkan KMM, PKMM, API dan AWAS terdiri dari pejuang kemerdekaan tulin yag tidak mahu bersengkongkol dengan penjajah. Mereka ini tidak dapat diperkotak-katikkan oleh Inggeris. Jika ditakdirkan mereka ini berjaya memerdekakan tanahair kita, tentu sekali lanskap politik negara kita tidak seperti hari ini. Selepas diberikan kemerdekaan pada 1957, kita masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah, dasar-dasar penjajah diteruskan, pendidikan penjajah dijalankan, ekonomi penjajah diperkenalkan dan macam-macam lagi. Kita diikat oleh penjajah. Dan yang sanggup menjalankan dasar-dasar penjajah ini ialah Umno. Inggeris percaya, jika kemerdekaan diberi kepada pejuang tulin macam Ibrahim Yaakob, dasar-dasar Inggeris tak dapat berjalan.

Sekarang jelas, sejarah dipalsukan dari segi gerakan menuntut kemerdekaan. Ini kerana Umno yang diberi kemerdekaan oleh Inggeris telah menggunakan kesempatannya sebagai kerajaan untuk memalsukan sejarah dalam semua aspek. Dokumentasi, buku sejarah dan seumpamanya. Bagaimana Cikgu melihat, “jenayah” ini boleh dibetulkan?

Perkara ini harus ditangani secara serius. Lihat balik pemalsuan sejarah dan sejarah sebenar. Betulkan fakta dalam buku sejarah yang jadi rujukan sebagai teks bacaan pelajar kita di sekolah-sekolah. Ini penting. Kerana melalui paparan dari buku-buku sejarah inilah, pemalsuan berjalan secara rasmi dan terancang. Pelajar-pelajar kita adalah genarasi akan datang yang bakal mentadbir negara. Tetapi, fakta sejarah yang melekat dalam kepala mereka hanyalah fakta palsu. Mereka tak kenal siapa itu Ibrahim Yaakob, iaitu orang yang mula-mula melaungkan kalimah “merdeka” kepada rakyat untuk mengnyahkan penjajah ketika itu.

Mengapa Cikgu kata Ibrahim Yaakob yang mempelopori kemerdekaan bukan Tunku Abdul Rahman?

Saya setuju dengan satu kajian yang dibukukan oleh Umno Johor. Buku itu dakwa orang yang mula mempelopori gerakan kemerdekaan tanahair ialah Ibrahim Yaakob. Berpusat gerakanya di Maktab Perguruan Idris, Tanjung Malim. Bagaimana kita lihat, dia membentuk jaringan dari sini hingga idea kemerdekaan bertaburan ke seluruh tanahair hingga ke Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ibrahim aktif menanamkan api kemerdekaan dalam kesatuan pelajar di Maktab. Dari sini, pelajar Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak yang tamat pengajian mereka, bawa balik idea dan perjuangan kemerdekaan ini. Jadi menyeluruh. Di sinilah mula bibit kemerdekaan tercetus. Fakta ini dinafikan oleh Umno yang cuba meletakkan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Bagi saya, Ibrahim Yaakoblah patut dinabatkan Bapa Kemerdekaan sebenar bukan Tunku yang tak tahu apa-apa.

Jika begitu realitinya, apakah terdapat usaha dari pihak PAS untuk membetulkan senario ini atau menggerakkan suatu penulisan semula sejarah kemerdekaan Malaysia?

Kita kena betulkan fakta palsu Umno itu. Gembelingkan tenaga. Kumpulkan pejuang-pejuang yang terlibat diawal gerakan kemerdekaan tulin. Kumpulkan kajian-kajian ilmiah yang dilakukan oleh universiti-universiti. Bagi saya, penulisan semula sejarah kemerdekaan wajib dibuat. Kita jangan asyik menyanggah soal kemerdekaan ini dalam tulisan-tulisan picisan ketika menjelang setiap kali sambutan hari kemerdekaan. Kita mesti sedarkan rakyat bahawa Umno bukan parti yang mempelopori gerakan kemerdekaan di tanahair kita. Tunku bukan Bapa Kemerdekaan. Semuanya ini kita mesti persoalkan semula secara serius. Bukan main-main. Kita kena buat satu jawatankuasa khusus untuk tujuan ini. Saya percaya, semua tokoh-tokoh sejarah dalam negara kita akan bersama dengan kita jika usaha terancang dibuat untuk membetulkan fakta sejarah ini. Tidak mengikut acuan sejarah yang disediakan oleh Inggeris dan dipekik-pekikkan oleh Umno. Saya yakin, fakta yang ada adalah fakta orientalis Barat yang mahu dilihat sebagai tiadanya penentangan serius dari rakyat terhadap penjajahan mereka. Pemerintahan diberi secara aman kepada Umno bagi menunjukkan baik dan bijaknya Inggeris pada mata dunia. Saya setuju, PAS mesti mempelopori usaha ini kerana ia penting untuk genarasi akan datang. Ia tak boleh tunggu lebih lama lagi. Kalau lebih lama, maka banyaklah penyelewengan sejarah akan dilakukan oleh Umno.

Apa kata PAS buat road show menentang kempen tajaan kerajaan sempena 50 Tahun Kemerdekaan Negara...

Insya-Allah. Itu satu cadangan yang baik. Saya akan cuba ke tengahkan dalam mesyuarat Badan Perhubungan untuk dibincangkan. Kempen oleh kerajaan ini, sebenarnya telah membuka ruang untuk kita mempersoalkan isu ini. Diperingkat Wilayah Persekutuan, mungkin road show ini boleh dilakukan tetapi di seluruh negara, ia kena dibincangkan di peringkat Pusat.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

Tarbiyyah: Di Mana Akauntibiliti Pemimpin Gerakan Islam?

Oleh HAJI MUHAMAD SABU
Naib Presiden PAS Pusat

Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Mobilisasi Demokrasi
Mantan Ahli Parlimen Nilam Puri, Kubang Krian & Kuala Kedah


APAKALI kita didendangkan oleh tok-tok guru, alim ulama dan ustaz-ustaz yang memberitahu bahawa “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam”.

Itulah realti sebenar. Tamaddun yang dilahirkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW, yang telah mewujudkan kerajaan Islam di Madinah.

Inilah RasullulLah yang bersifat sebagai Ketua Negara; Ketua Negara dengan rakyatnya, Ketua Negara dengan negara jirannya, Ketua Negara dengan rumahtangganya, Ketua Negara dengan musuh-musuhnya dan lain-lain perkara yang meliputi segala urusan kehidupan manusia.

Tamaddun yang dilahirkan oleh Islam bukanlah tamaddun kebendaan. Tetapi suatu ketamaddunan yang mengatasi teori kebendaan yang dipelopori oleh Rome dan Parsi pada waktu itu. Pembangunan yang hebat di Rome dan Parsi telah dicabar oleh kebangkitan ketamaddunan Islam.

Bukan bangunan pencakar langit yang diwujudkan di Madinah. Tiada projek mega atau projek luar biasa. Bukan patung gah! Bukan juga ukiran ternama. Tetapi suatu sifat akauntibility (pertanggungjawaban) yang berjaya dilahirkan oleh sistem tamaddun Islam ini.

Senario ketika itu, memperjelaskan kepada kita bagaimana seorang Ketua Negara begitu bertanggungjawab dan amat prihatin dengan segala persoalan dan isu dibawah pentadbirannya.

Begitu jugalah rakyatnya, yang terbukti kaya dengan sifat tanggungjawab sesama sendiri malah lebih dari itu mereka berani untuk menegur (mengkritik) kerajaan, jika terdapat salah dan silap.

Terlalu banyak cerita dan iktibar yang boleh dikutip darihal akauntibility ini terutama sepanjang zaman pemerintahan empat khalifah yakni Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Othman dan Ali.

Pernah dinukil dalam suatu kisah yang mashyur; Syaidina Abu Bakar telah ditegur (dikritik) oleh anakanda RasullulLah SAW sendiri iaitu Syaitina Fatimah dalam isu tanah.

Begitu juga, Syaidina Umar pernah ditegur dalam isu mahar, isu pembahagian harta kepada golongan veteran dan golongan baru yang memeluk Islam.

Malah dalam satu kes, Syaidina Umar sebagai Ketua Negara pernah juga menegur seorang Gabenor yang dihantarnya untuk bertugas di Yaman, pergi dengan sehelai sepinggang tetapi balik dalam “keadaan” yang agak mewah.

Hal ini sudah tentu mengaibkan kerana “kemewahan” itu tidak akan dikecapi hanya dengan gaji yang diberikan. Dan ini sudah tentu berlaku penyelewengan apabila Gabenor berkenaan menikmati “kemewahan” itu dari pemberian hadiah dan sebagainya dari orang ramai. Ia telah menimbulkan kemarahan Syaidina Umar lalu mengambil tindakan ke atasnya.

Ini semua sejarah dan teladan yang diketahui oleh umat Islam dan dikuliyyahkan pada setiap masa. Kisah klasik yang sangat popular darihal Khalifah Umar Abdul Aziz sewaktu menjadi Ketua Negara, yang berjaya mengembalikan pemerintahan dengan adil berbanding sebelumnya.

Sikap akauntibility yang menjadi tonggak pemerintahannya dapat digambarkan dari satu iktibar bagaimana beliau memadamkan api pelita milik kerajaan ketika menulis surat untuk kaum keluarganya tetapi menggunakan api pelita itu hanya untuk urusan yang berkaitan dengan kerajaannya sahaja.

Inilah yang menyebabkan Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam. Tetapi, akhirya ianya hanya menjadi teori apabila negara-negara Islam selepas itu, ditegakkan secara monarki melalui pemerintahan keturunan seperti yang berlaku di Turki, India, Arab Saudi dan lain-lain negara lagi.

Selepas itu berlakulah kejatuhanan tamaddun Islam dengan dahsyatnya, dan yang tinggal hanyalah ilmu-ilmu Islam yang dipusakai hinggalah ke hari ini.

Sekarang dikatakan zaman kebangkitan semula Islam. Dan ini sudah tentu kebangkitan kembali tamaddunnya yang telah runtuh dahulu. Umat Islam hari ini hanya mengenali tamaddun Sepanyol, England, Itali dan negara-negara lain yang pernah menjajah mereka.

Kini, umat Islam cuba untuk bangun. Cuba untuk menegakkan tamaddun itu.
Tetapi saya lihat, umat Islam masih gagal untuk menzahirkan tamaddun mereka. Dan apabila mereka diberi peluang untuk memimpin dan berkuasa, kumpulan Islam belum dapat dan belum mampu untuk mengatasi tarbiyyah dan pendidikan yang dipraktikkan oleh England dan Barat.

Apa yang dilakukan oleh Barat yang umat Islam sendiri tidak boleh menafikannya ialah kejayaan dan keberkesanan mereka mewujudkan pegawai atau pemerintah dan rakyat yang kuat berpegang kepada akauntibiliy.

Sebenarnya, itulah sifat yang dipelopori oleh Islam dahulu di zaman RasullulLah SAW dan para Khalifah. Tetapi, sifat itu kini dipraktik sepenuhnya oleh Barat.

Apabila saya memperkatakan soal tarbiyyah atau pendidikan ini, jika dirujuk kepada doktrin tarbiyyah atau pendidikan yang dipraktikkan oleh PAS, Abim dan Jim; antara kumpulan Islam yang tersohor di negara ini, saya tidak nampak kumpulan-kumpulan ini mampu melahirkan petugas atau amilin yang boleh mengatasi sifat akauntibility yang dilahirkan oleh sistem Barat.

Misalnya, pentadbir-pentadbir yang dididik oleh Barat, saya nampak mereka lebih bertanggungjawab kepada tugasannya dan orang yang ditadbirnya. Mereka menjadi hamba kepada rakyat itu!

Di Malaysia, sebagai contoh, terdapat individu yang terdidik dengan sistem Barat ini yang memang cukup terkenal dengan sifat kredibiliti akauntibility mereka, seperti Tan Sri Ahmad Nordin, Tan Sri Harun Hasyim, Tun Salleh Abbas dan termasuklah bekas Pengerusi Kohilal, Allahyarham Haji Ismail Abdullah.

Sikap mereka untuk menjaga harta orang awam, hak orang ramai dan menjadi pentadbir kepada orang yang ditadbir memang ternyata wujud. Bukannya Barat itu lebih baik tetapi kelemahan berpunca dari umat Islam itu sendiri.

Buat masa ini, saya melihat akauntibility dari Barat itu ternyata lebih baik!

Kecuali umat Islam mengambil senario atau kemelut ini sebagai suatu cabaran supaya kita dapat melahirkan masyarakat terutama sekali diperingkat orang yang ditarbiyyah atau dididik ini bersifat akauntibility.

Apabila kumpulan diberi kuasa untuk memerintah, sifat yang paling utama diberi perhatian ialah memberikan kesejahteraan dan kehormonian kepada rakyat.

Bukan kita berebut peluang kebendaan dan kenikmatan untuk diri kita terlebih dahulu. Buat masa sekarang saya tidak nampak ada perubahan, misalnya, stail kehidupan pegawai-pegawai Jabatan Hutan di Kelantan dengan pegawai-pegawai Jabatan Hutan di Perak dan di Pahang.

Begitu jugalah, dalam isu-isu atau kekeliruan-kekeliruan dalam kita membezakan antara harta peribadi dengan harta awam. Iktibar dari kisah Syaidina Umar Abdul Aziz masih jauh untuk ditekuni.

Sedangkan selepas Umar Abdul Aziz lahir, genarasi yang mewujudkan suatu tamaddun gemilang Islam inilah yang akhirnya dipakai oleh Barat. Adalah terlalu jauh lagi, untuk kumpulan Islam mempraktikkan apa yang diamalkan oleh Umar.

Terlalu banyak peninggalan Umar ditiru oleh Barat tetapi tidak mampu dizahirkan oleh pemerintah dari kalangan umat Islam.

Pada pendapat saya, itu bukan salah Islam tetapi kelemahan umat dan barangkali cara doktrin pemimpin-pemimpin dalam gerakan Islam sudah tersilap dan perkara ini perlu dibetulkan kembali supaya kehidupan khalifah seperti Umar Abdul Aziz dan empat khalifah yang lain dapat diketengahkan.

Seringkali saya tegaskan, pada zaman khalifah ini, apabila orang mencari di mana istana khalifah, mereka tidak jumpa istana khalifah dan pada waktu itulah Islam berjaya mengalahkan Rome dan Parsi iaitu dua kuasa besar pada waktu itu.

Apabila pemimpin Islam tinggal dalam istana-istana yang hebat-hebat maka di waktu itulah umat Islam dijajah. Jika kita ingin kembali kepada tamaddun Islam yang cemerlang itu maka kita mestilah kembalikan pemimpin Islam yang hidup bersama rakyat.

Kehidupannya, kalau tidak setarafpun, sekurang-kurangnya pemimpin mesti tahu denyut nadi rakyat dan tidak menjadikan kedudukan sebagai habuan perjuangan semata-mata.

Misalnya, setelah kita (PAS) berjuang 40 ke 50 tahun, kita berkata “…apa salahnya, kita dapat nikmat hidup diakhir hayat kita”. Kata-kata begini, jika ditakdirkan berpeluang mendapat kuasa, akan menyebabkan kita membolot apa yang ada di sekeliling kita sedangkan orang-orang bawah yang berjuang bersama kita dahulu, tidak menikmat apa-apa seperti yang kita dapat.

Jika benar kita mahu meletakkan Islam itu lebih tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam, maka kita hendaklah mengkaji semula sistem tarbiyyah kita supaya kita dapat mempamerkan sifat akauntibility yang lebih baik dari apa yang dididik oleh Barat.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

Ann Wan Seng Akui PAS Gagal Fahami Budaya Cina


Oleh ABDUL MANAN ABDUL GHANI
Bendahari Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu


Padang Balang: Mantan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ann Wan Seng menolak tanggapan kononnya kaum Cina di Malaysia tidak mengundi PAS. Sebaliknya, jelas beliau, undi Cina menjadi undi penentu dalam satu-satu UPU atau saluran mengundi di kebanyakan tempat yang ditandingi oleh PAS.

PAS harus lebih mendalam lagi mengenali kaum Cina yang terdiri dari pelbagai suku di negara supaya pelbagai strategi yang dipasang “mengena”. Ini kerana, pada masa ini, kaum Cina berada dalam tekanan hidup setelah kejatuhan ekonomi dan lebih banyak perniagaan orang Cina kini lingkup kerana dasar ekonomi BN yang melumpuhkan mereka.

Jika PAS kuat dan benar-benar menjadi alternative kepada BN, Ann yakin, kaum Cina akan dengan sendirinya menyokong PAS atau BA. Mereka ini, katanya lagi, sama seperti lalang, mengikut arah angin bertiup.

Ann Wan Seng yang kini dilantik Setiausaha Agung PERKIM adalah panel undangan dalam “Debat Kontemporari Siasah” anjuran Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu. Program menarik itu telah dilancarkan oleh Pengarah JPN Wilayah Persekutuan, Cikgu Ishak Surin di PASTI Kg. Padang Balang.

“Kaum Cina yang beragama Islam di China jauh lebih besar dari jumlah orang Malayu yang beragama Islam di Malaysia. Orang Muslim China lebih 100 juta orang. Sebab itu, Islam bagi orang Cina bukannya suatu yang asing,” ujar beliau dengan penuh semangat.

Malah katanya, Laksanama Cheng Ho yang diutuskan oleh Kerajaan China pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka adalah orang Cina yang beragama Islam. Cheng Ho sangat dihormati oleh kaum Cina di Malaysia hingga banyak tokong-tokong Cheng Ho dibina.

Ann amat yakin, kaum Cina di Malaysia memang menyokong PAS jika PAS dapat menunjukkan kebolehan dan keupayaan memerintah dan menonjolkan Islam sebagai suatu dasar yang adil dalam segala aspek kehidupan mereka.

Sehingga kini, Ann Wan Seng telah menulis pelbagai buku akademi, motivasi dan politik. Antara buku yang terlaris dijual oleh PTS Distributions Sdn. Bhd. ialah “Rahsia Perniagaan Orang Cina”. Beliau juga adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

Bicara Muamalat: Produk “Bai’nah” Laris

Oleh DR ABDULLAH IBRAHIM
Fellow Research Islamic Banking & Finance, Kuala Lumpur
dan mantan Naib Presiden Majlis Fiqh OIC.


SEHUBUNGAN dengan kelarisan produk ini ditawarkan oleh berbagai pihak, saya disini ingin menarik perhatian ramai yang ingin dengan ikhlas hati hendak mencari jalan yang lebih bersih daripada riba dan syubhahnya kepada pendapat yang pertengahan di antara dua pendapat yang agak keterlaluan (haram dan harus secara mutlak).

Saya ingin menarik perhatian mereka, kepada pendapat yang diputuskan oleh Majlis Pengawasan Syariah (MPS) Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) diawal-awal perlaksanaan Sistem Perbankan Islam (awal 80an) yang saya percaya dipersetujui oleh ramai Ahli-Ahli Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan SC bersetuju dengannya.

Pendapat tersebut berdasarkan pendapat Imam as Shafi’e dan ilmuan yang sependapat dengannya. Pendapat ini mengharuskan Bai ‘inah dengan syarat-syarat tertentu, iaitu;

§ Aqad kedua dilakukan setelah selesai aqad pertama dengan berlaku qabat (penerimaan) yang benar-benar memindahkan milik barang yang dijual dan jaminan sepenuhnya kepada pembeli daripada penjualnya yang pertama.
§ Aqad kedua dilakukan setelah tamat khiyar, sama ada melalui perpisahan badan di antara dua pihak yang beraqad atau melalui ucapan yang menunjukan tidak ada khiyar lagi dari salah satu pihak dan diperakui oleh yang kedua.
§ Tiada syarat jual balik kepada penjual yang pertama (secara langsung atau tidak.

Sehubungan dengan kelarisan produk Bai’inah ini juga saya ingin juga menarik perhatian mereka yang ingin menjauhkan diri daripada riba yang di beritahu oleh Rasulullah SAW iaitu; Bahawa riba menjadi berleluasa di akhir zaman dan ramai orang tidak memperdulikannya lagi walau pun jelas haramnya atau tidak jelas tetapi ada kesamaran (syubhah).

Saya ingin menarik perhatian mereka untuk renungan sendiri kepada pendapat seorang dua ilmuan Islam silam; Antaranya Ibnu al Qiyyim yang berpendapat bahawa Bai’inah sebagai fasid (tidak sah lagi haram) dan ia merupakan suatu helah yang haram, sama ada berlaku aqad kedua secara tidak bersepakat dari awal aqad atau secara bersepakat dari awal aqad.

Menurut Ib al Qaiyyim juga bahawa Bai’inah haram dan tidak sah juga disisi mazhab as- Shafi’e, kerana dikira termasuk dalam kumpulan (dua jualbeli dalam satu aqad) yang dilarang oleh Rasulullah SAW (al Mausuah al Fiqhiyyah, Bai’atan fi Bai’ah. Lihat
http://sultan.org/a/, Jamik al Fiqh ).

Selain Ibn al Qaiyyim, ilmuan Syariah dan Sains Islam terkenal, Ibn Rushd al Qurtubi di dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid, semasa membincangkan Buyu’ al Ajal yang termasuk di dalamnya Bai’inah, beliau berkata; Jual beli jenis ini tidak boleh diterima daripada mereka yang terkenal sebagai pengamal riba. Sekian untuk pertalian bagi mereka yang ingin membersihkan dirinya dan keluarganya.

Dari riba yang juga diberitahu Rasulullah SAW bahawa sekecil-kecil dosa amalan riba adalah sama dengan dosa melakukan sumbangan mahrim seseorang dengan ibunya sendiri.


EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

Lutfi, Zunar dan “Santai Minda” Pukau Hadirin!

Oleh NUR HIDAYAHTUL JANNAH
Wartawan Blogpasbatu.Com


Taman Melewar: PAS Kawasan Batu memulakan program bulan Julai dengan memperkenalkan produk baru “Santai Minda” yang menampilkan dua orang panel tersohor, Ahmad Lutfi Othman – seorang penulis buku politik prolific yang kini menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Harakah.

Beliau ditemani oleh Pengarang Suara KeAdilan, Zunar yang meluahkan pelbagai “rahsia Altantuya” hingga menarik ketekunan hadirin menghayatinya. Namun kedua-dua tokoh media ini, memiliki gaya tersendiri ketika menyampaikan hujah mereka.

Sesekali, mederatornya Tarmizi Mohd Jam menjolok dan memprovok hingga menampakkan arah pandangan yang berbeza. Tetapi semuanya itu diungkap dalam suasana santai di pentas “Santai Minda” yang diadakan di Markaz PAS Kawasan Batu, Taman Melewar.

Lutfi yang terkenal dengan view lawan arusnya melihat kekuatan pembangkang tidak segagah mana walaupun Anwar Ibrahim telah melepasi tembok dan jeriji besi Penjara Sg. Buloh. Bagi beliau, isu pembunuhan Altantuya juga tidak banyak membantu menguatkan pembangkang sekalipun seorang orang penting negara disahkan bersalah oleh mahkamah.

Sebelum itu, “Santai Minda” telah dilancarkan oleh Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Hajjah Salbiah Abdul Wahab. Dalam uacapan ringkasnya, beliau memuji langkah Lajnah Penarangan PAS Kawasan Batu mengemukakan program alternative yang menarik kepada masyarakat setempat.

Beliau berharap, program ini kekal dan menampilkan lebih ramai penelis yang mampu menarik perhatian masyarakat agar melalui cara ini, masyarakat dapat didik dan peka dengan isu-isu sekeliling mereka seperti perbincangan santai mengenai pembunuhan Altantuya.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.


Fokus Isu: Mengapa Pak Lah Tak Buka Quran Tengok ISA?

Oleh CIKGU HAJI ISHAK SURIN
Pengarah JPN (PAS) Wilayah Persekutuan / Timbalan Pengerusi

Lajnah Hal Ehwal Pekerja & Peneroka Bandar PAS Pusat
Yang Dipertua PAS Kawasan Batu

SUDAH tiba masanya Pak Lah, anak dan cucu ulama tersohor, dari Pulau Pinang ini, selak al-Quran, cari panduan; Apakah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu serasi dengan hujah Allah atau tidak?

Mengapa undang-undang rimba itu dipertahankan benar-benar sebalikya hukum-hakam Allah yang wajib dilaksanakan pada peringkat pentadbiran, dilaberal-laberalkan? Dulu Pak Lah tiada kuasa. Maka tiada power untuk berbuat demikian. Kini, Pak Lah diberi kuasa. Mengapa menangguh? Mengapa tidak hapuskan akta-akta rimba yang menyenak dan jelas bercanggah dengan prinsip Islam?

Walaupun beberapa negara di dunia mempunyai undang-undang tanpa bicara yang kebanyakkannya diwujudkan selepas Peristiwa 9-11 sebagai langkah kecemasan, tetapi undang-undang mereka mempunyai sekatan dan imbangan (check and balance) yang ketat supaya kepentingan menjaga keselamatan negara diseimbangkan dengan hak asasi seseorang individu.

Dalam semua undang-undang tersebut, jangka masa seseorang itu ditahan hanya untuk beberapa hari sahaja. Selepas itu, orang yag ditahan mestilah dihadapkan ke mahkamah atau dibebaskan.

ISA di Malaysia bukan begitu. Mangsa boleh ditahan oleh pihak polis selama 60 hari untuk siasatan yakni selama dua bulan. Lama tu! Selepas itu, tahanan akan dikenakan perintah tahanan di Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun (minima).

Apabila tempoh dua tahun genap, perintah tahanan boleh disambung dua tahun lagi, kemudian dua tahun lagi sehingga bila-bila atas keputusan yang dibuat oleh polis dan Menteri Dalam Negeri berdasarkan laporan dari satu lembaga penasihat yang jelas tidak bebas.

Sehingga kini terdapat lebih kurang 97 orang yang disimpan di bawah undang-undang rimba ISA ini, termasuk lebih kurang 60 orang yang dituduh sebagai anggota “KMM” dan 6 “JI”. Menjelang September 2006 yang lalu, tahanan “KMM” telah ditahan selama 5 tahun tanpa didakwa dan tidak pernah disab itkan atas apa-apa kesalahan.

Antara Januari dan Disember 2006, 38 orang dari kumpulan “JI” akan genap menjalani tempoh penahanan selama 4 tahun – tanpa langsung diberi peluang membela diri.

Sifirnya begitu mudah. Jika ada bukti terhadap apa yang mereka lakukan, pastilah pihak polis sudah mendakwa mereka di mahkamah terbuka dan dijatuhkan hukuman. ISA hanyalah kurungan biadap kepada tahanan yang memang tidak boleh dibuktikan kesalahan mereka.

Apabila tempoh penahanan diperbaharui, kerajaan mengatakan tahanan perlu kepada pemulihan atau kaunseling. Tetapi, jika mereka tidak pernah dibuktikan bersalah, apakah yang perlu dipulihkan? Sepatutya, pihak penahan (BN dan Umno) yang menggunakan ISA ini yang patut “dipulihkan” dari kerakusan dan penyalahgunaan undang-undang rimba ini untuk kepentingan politik sempit mereka.

Pejelasan berdolak-dalik kerajaan mengenai penahanan mereka hanyalah mengesahkan prasangka bahawa tahanan “KMM” dan “JI” ditahan adalah atas permintaan Amerika sebagai sebahagian dari agenda Amerika memerangi keganasan yakni satu tindakan yang amat-amat diragui.

Di Indonesia, tidak terkecuali telah menyaksikan beberapa serangan pengganas dan ramai rakyatnya ditangkap atas tekanan Amerika. Tetapi Indonesia berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan berpegang teguh kepada hak asasi manusia dengan hanya menangkap mereka yang mempunyai bukti terlibat dan kemudian diberikan hak melalui perbicaraan terbuka di mahkamah.

Di Filipina juga, tiada undang-undang seumpama ISA ini walaupun negaranya mempunyai masalah yang berlarutan dengan pejuang pemisah yang telah meragut banyak nyawa.

Jika dibandingkan dengan Malaysia yang tidak pernah berlakunya serangan pengganas, tiba-tiba menyimpan hampir 100 orang tahanan yang disyaki pengganas untuk tempoh yang panjang tanpa memberikan hak seincipun untuk mereka dibicarakan dengan adil.

Apa yang dikemukakan oleh SUHAKAM tidak dipedulikan. SUHAKAM mengulas: “Sejarah menunjukkan bahawa undang-undang dan amalan berkaitan ISA telah menjejaskan kedudukan hak asasi di Malaysia”.

Ulasan lain: “Di bawah ISA, warga negara dan bukan warga negara Malaysia telah ditahan secara arbitrari (sewenang-wenangnya) dan diberi layanan di luar batas kemanusiaan dan disiksa semasa dalam tahanan. Kekhuatiran ini mempunyai asas yang kukuh”. Malah komen ekstrem yang lain SUHAKAM: “Adalah dicadangkan agar ISA dimansuhkan…”

Untuk pengetahuan kita, ISA telah digubal pada tahun 1960 sebagai undang-undang dharurat dan kini sepatutnya ia telah dimansuhkan sebaik sahaja dharurat tamat. Tetapi kerajaan mengekalkannya untuk dijadikan senjata penting bagi menangani masalah “dharurat” terutama yang bersifat politik (mengancam BN).

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

Taklimat Tanam Cili Fertigasi Tarik Minat Ahli PAS Batu

Oleh MOHD SHARBI KAMARULZAMAN
Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu


Taman Melewar: Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Kawasan Batu mengorak langkah menganjurkan “Taklimat Taman Cili Secara Fertigasi” dan membuka peluang pelaburan kepada ahli-ahli untuk meningkatkan pendapatan PAS Kawasan Batu.

Ketuanya, Hisyamuddin Ghazali mengajak mana-mana ahli PAS yang berminat dan mempunyai modal, melabur dalam perladangan cili secara fertigasi ini kerana pulangannya lebih lumayan berbanding tamanan secara konvensional.

Taklimat telah disampaikan oleh sebuah syarikat swasta yang telah menjalankan perniagaan itu secara meluas di Johor dan mereka membuka peluang pelaburan itu semata-mata mahu melibatkan ahli-ahli PAS yang berminat dan menginfaqkan keuntungannya kepada perjuangan Islam melalui PAS Kawasan Batu.

Lajnah Ekonomi juga turut aktif menjalankan perniagaan trading seperti jualan computer, potong rumput, percetakan, catering, kontraktor binaan, perbekalan dan perkhidmatan dan lain-lain lagi. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan bekalan dan perkhidmatan Lajnah Ekonomi, bolehlah berhubung terus dengan Hisyamuddin (019-3200481) atau Abdul Manan (017-3473253).

Dengan kebolehan dan kepimpinan Hisyamuddin, Lajnah Ekonomi dijangka menjadi lajnah paling aktif dalam menambah kewangan partai dan membangunkan usahawan di kalangan ahli-ahli PAS Kawasan Batu.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

Shisss: Ananda Krisnan Huloq Pak Lah Kapal Layar Rasuah?

Oleh TARMIZI MOHD JAM
Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu


Sentul Pasar: Timbul tandatanya, apakah Kapal Layar mewah bernilai puluhan juta ringgit yang “hadiahkan” oleh tokoh korporat Ananda Krisnan kepada Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi itu bukannya berunsur “rasuah”?

Banyak pihak memberi respon isi khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan kebelakangan ini yang menyentuh darihal produk rasuah yang dinamakan dengan pelbagai istilah antaranya “duit kopi”, “minyak pelincir”, “tumbuk rusuk”, “komisyen” dan banyak lagi. Tetapi suatu yang menarik “hadiah” untuk sesuatu tujuan juga dikaitkan sebagai rasuah.

Persoalannya, jika Ananda Krisnan seorang penoreh getah, apakah mungkin Kapal Layar mewah akan dihadiahkannya kepada Perdana Menteri? Atau adakah Ananda akan menghadiahkan bot atau kapal untuk mana-mana nelayan terpilih di Kuala Kedah atau Chendering?

Sebagai tokoh korporat, Ananda mempunyai kepentingan tertentu dalam perniagaan mega di negara ini dan sudah tentu “hadiah” kapal layar itu mengandungi signal tersirat yang hanya Perdana Menteri sahaja yang tahu.

Jadi tidak hairanlah, Ezam Mohd Noor, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar menggunakan Pepatah Cina yang dipopularkan oleh Tun Ling Liong Sik, bekas Presiden MCA, bahawa “busuknya ikan itu bermula daripada kepala”, patut menjadi iktibar kepada Ketua Pengarah BPR ini dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Datuk Johari Baharom yang kini disiasat kerana tuduhan rasuah.

Pepatah ini, bukan sahaja merujuk isu Ketua Pengarah BPR dan Timbalan Menteri KKDN, tetapi “hadiah” yang diterima oleh Pak Lah itu juga patut dipertegaskan, apakah ianya berupa “rasuah” atau dibenarkan oleh syarak?

Ini kerana, “hadiah” seumpama itu boleh dijadikan tukaran kepada pelbagai tuntutan pihak berkenaan dan kesempatan ini sudah tentunya tiada pada orang lain selain dari Perdana Menteri sendiri.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my

Kontroversi: Gerakan Sistematik Hapuskan Islam…

Oleh TARMIZI MOHD JAM
Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu


KES LINA JOY amat mengesankan. Beliau tidak memohon murtad tetapi mahu nama aga-manya (Islam) dalam kad pengenalan dibatalkan. Secara tidak langsung tindakannya itu mencabar ajaran Islam tentang murtad.

Bagitu juga dengan kontroversi ajaran sesat Ayah Pin di Besut. Ajaran krakpotnya didalangi pihak tertentu yang jelas tidak boleh menerima-nya tetapi semata-mata untuk mencabar Islam.

Memorandum Majlis Bukan Islam yang dituju-kan kepada Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001 dulu, jelas memperincikan tuntutan dan desakan yang berbau anti Islam. Mereka mahu orang Islam diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah.

Di era kekuasaan Pak Lah yang lemah, kumpulan ini mendesak agar ditubuhkan satu badan berkanun IFC atau Inter-Faith Commission. Ia khas untuk menukar ajaran apa sahaja agama yang dirasa menyekat hak asasi manusia terma-suk ajaran Islam berkenaan murtad. Badan ini boleh memutuskan permohonan seseorang Islam yang hendak murtad.

Menurut draf rang undang-undang IFC yang dikemukakan pelopornya yakni Majlis Bukan Islam dalam Majlis Peguam; IFC akan berkuasa melaksanakan beberapa norma undang-undang antarabangsa. Ini bererti aduan tidak akan dipu-tuskan mengikut acuan agama seseorang atau undang-undang sivil Malaysia yang sedia ada. Antara norma-norma antarabangsa itu adalah Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948.

Kes Lina Joy merupakan asakan strategi musuh terhadap Islam. Era 70an dan selepas itu, mere-ka mencari orang yang bakal murtad dalam kum-pulan masyarakat yang dhaif seperti anak luar nikah (zina) antara Islam dan bukan Islam.

Di Pulau Pinang, terdapat sebuah firma guaman yang aktif mengiklankan peristiharan murtad dalam akhbar The Star. Mereka mengikut satu ataur cara undang-undang yang dipanggil deed poll. Peristiharan seperti itu adalah cara yang digunakan di England oleh seorang yang hendak mengisytiharkan penukaran namanya. Tetapi, perisytiharan begini tiada kuasa disisi undang-undang di Malaysia. Maka, dari sinilah muncul idea penukaran nama melalui kad pengenalan.

Lina Joy cuba mengambil manfaat dari kelemahan Akta Pendaftaran Negara. Beberapa kes murtad pernah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran seperti kes Kartini. Apabila JPN sedar kesilapan itu, maka syarat dibuat mana-mana orang Islam yang mahu tukar nama dari nama Islam kepada orang bukan Islam, pemohon hendaklah mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Syarat inilah yang sedang dicabar oleh Lina Joy. Dalam mendengar hujah di Mahkamah Perseku-tuan, Hakim Besar Negara, Tun Ahmad Fairuz memberi peluang kepada Majlis Perunding Bukan Islam (pelopor IFC) berhujah bahawa orang Islam berhak untuk murtad.

Peluang dan peranan yang diberikan kepada mereka, mungkin baik bagi mendengar semua pihak yang berminat walaupun sama sekali tidak ada kepentingan dari segi hak mereka mempraktikkan agama mereka seperti yang disyorkan oleh Artikel 11 Perlembagaan.

Namun begitu, tindakan Mahkamah Rayuan Persekutuan boleh dianggap oleh kumpulan ini sebagai mengiktiraf hak mereka dalam kes murtad orang Islam dengan memberi ruang selesa untuk mereka campur tangan dalam urusan Islam. Ini benar-benar amat mengecewakan!

Kes Lina Joy adalah kali pertama membabitkan isu Artikel 11 (1) dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk ditafsirkan. Islam yang menjadi identiti bangsa, kini sedang dirobek-robek. Selama ini ia tetap utuh sekalipun pernah dijajah lebih 500 tahun oleh kuasa besar Kristian di rantau ini. Definisi Melayu dalam Perlembagaan juga turut terancam dengan bahang panas dari kes Lina Joy ini.

Dibawah Akta Pendaftaran, mengkehendaki agama seseorang disebut sebagai satu-satunya ciri pengenalan pemiliknya. Ini menyulitkan Lina Joy memadamkan agama Islam pada kad pe-ngenalannya. Sebab itu, Lina Joy mencabar kua-sa JPN. Jabatan itu diberi kuasa mensyaratkan seorang yang hendak tukar nama Islam asalnya disebabkan murtad hendaklah mendapatkan kebenaran dari Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Kes-kes lain seperti kes Moorthy dan Nyonya Tahir, kumpulan Artikel 11 yang seiya dengan IFC mendakwa hak orang bukan Islam di negara ini tidak dilindungi. Ia dipelopori oleh 14 NGO antaranya Suaram, Awam, Hakam, Sisters in Islam dan WAO. Kumpulan inilah juga yang menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Dan mereka jugalah yang mencadangkan penubuhan IFC!

Mereka mempersoalkan mengapa hak murtad diletakkan dibawah undang-undang Syariah? Fenomena ini ditambah dengan kedangkalan pemimpin Islam Umno dalam kerajaan yang turut memberikan kekuatan kepada kumpulan ini untuk terus menggapai impiannya.

Kebebalan Nazri Aziz, Menteri Di JPM dalam isu ini amat membimbangkan. Beliau bukan sa-haja gagal membela Islam malah turut menyokong kumpulan yang mahu merobek maruah Islam di negara ini.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang kufur dengan Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang, tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.” - (An-Nahl:106)

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my

Interbiu Xkusif: Pak Lah Telah Buktikan Malaysia Police State


Muqqadimmah: Ahli PAS yang dikaitkan dengan KMM baru saja dibebaskan dari kurungan kejam ISA. Tetapi, kaki, tangan, dan mulut diikat dan dikunci ketat. Pembebasan yang tidak bermakna. Dakwaan Malaysia sebagai Police State sukar disangkal. Menjolok minda Hj. MAHFUZ OMAR, Ketua Penerangan PAS Pusat yang pernah menikmati pahit-getir ISA, menjelaskan mengapa undang-undang rimba ini mesti dihapuskan. Editor Blogpasbatu.Com, TARMIZI MOHD JAM mengungkapkan komen beliau.

TARMIZI: Apakah Saudara berpuashati dengan pembebasan ahli-ahli PAS yang dikaitkan dengan KMM menjelang Aidulfiri tahun lalu ?

HAJI MAHFUZ : Saya tak puashati. Bagi saya itu bukan pembebasan dari sudut sebenar. Dari satu sudut macam bebas sebab keluar dari kurungan, boleh hidup dengan anak isteri. Tapi dari segi demokrasi dan hak asasi mereka tidak bebas. Mereka masih lagi diletakkan dalam tahanan dan kawalan pihak polis untuk satu tempoh, setahun atau dua tahun. Dan ada kemungkinan mereka ini dipanggil balik, di bawa masuk ke Kamunting seperti Ustaz Badrul Amin suatu ketika dahulu kerana boleh dianggap oleh pihak keselamatan telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan. Jadi, saya tak kata mereka ini telah bebas kerana hak mereka masih dinafikan. Pergerakan mereka terhad. Mereka tidak menikmati hak-hak mereka sebagai warga negara demokrasi. Hak bersuara malah hak untuk aktif dalam politik. Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir bahawa negara kita adalah Police State...

ISA telah digubal pada tahun 1960 sebagai undang-undang darurat. Sekarang sudah 46 tahun digunakan oleh BN secara jelas untuk kepentingan politik mereka. Bagaimana Saudara melihat ISA sebagai undang-undang yang relevan, dulu mahupun sekarang?

Mungkin suatu ketika dahulu dalam usaha untuk mengekang, nak hadapi gerakan komunis, ISA agak jelas matlamatnya. Sekarang, bagi saya ia sudah disalahgunakan untuk menghadapi musuh-musuh politik dan untuk menyekat satu kesedaran politik di kalangan masyarakat dan rakyat. Ini sudah pasti akan wujud satu suasana seperti kata Tun Mahathir bahawa persikataran yang menakutkan rakyat untuk bersuara. Mereka melihat bahawa pentafsiran keselamatan negara terancam itu tersangat luas yang boleh dibuat tanpa pertimbangan kehakiman kerana hanya semata-mata pertimbangan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN). Dari sudut undang-undangnya, ia tak seharusnya wujud dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang bertamadun apatah lagi kerajaan dan kepimpinan hari ini seperti kata Pak Lah mengakui bahawa ia mendapat mandat yang begitu besar dan sebagainya. Jadi kenapa dia harus takut terhadap kebebasan bersuara yang seharusnya dimiliki oleh rakyat.
Dan yang keduanya saya melihat bahawa perlaksanaan ISA sekarang ini sudah pergi ke satu tahap lagi, selain dari memerangi musuh-musuh politik, mereka gunakan ISA ini untuk menurut penguasaan asing yang menekan kerajaan selaku pelaksana undang-undang dalam negara kita ini dalam isu-isu pengganas selepas 11 September.

Maksudnya kerajaan melayani pihak luar...

Ya. Kerajaan kita lebih melayani kehendak Amerika dengan menggunakan ISA. Ini telah mendedahkan negara kita kepada penguasaan asing dan menyebabkan dasar luar negara kita terlalu berlembut dengan pihak Amerika. Kita jadi pak turut kepada apa saja kemahuan mereka. Umpamanya, bagaimana Menteri KDN pada waktu Tun Mahathir jadi PM, iaitu Pak Lah jadi Menteri KDN boleh membenarkan FBI untuk datang membuat siasatan terhadap tahanan ISA ini di Kamunting. Ini bagi saya suatu tindakan yang tidak sewajarnya boleh berlaku. Ia menggambarkan betapa buruknya dasar luar negara kita dan kita terpengaruh dengan kuasa asing.

Kalau begitulah, maknanya dakwaan Tun Mahathir dan Saudara juga menyebut tentang beberapa insiden yang menunjukkan negara kita sebenarnya adalah Police State. Tetapi dakwaan itu dinafikan oleh Pak Lah. Apa sebenarnya...

Sudah pasti PM menafikan seolah-olah beliau tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh dilihat sebagai Police State. Tetapi bagi saya, selepas dari pilihan raya 1999 semua perlaksanaan ISA, OSA, Akta Polis dan lain-lain berada di bawah Pak Lah. Sebab dia Menteri KDN. Sekatan-sekatan ceramah, sampai sekarang masih berkuatkuasa. Aidilfitri lalu ceramah Anwar di Terengganu, diganggu, dikepung oleh pihak polis. Hingga tercetusnya satu insiden ketegangan antara pihak polis dan penganjur. Bagi saya, penafian yang dibuat hanya semata-mata kerana dia tidak mahu akur dengan tuduhan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu. Tapi hakikatnya, rakyat dapat melihat bahawa penangkapan KMM itu sendiri ialah di waktu Pak Lah jadi Menteri KDN.

Police State yang Mahathir kata itu, merujuk pada Pak Lah. Begitu?

Apa tidaknya. Kita lihat sekatan-sekatan ceramah selepas 1999, semuanya terjadi ketika dia (Pak Lah) Menteri KDN. Harakah umpamanya dari sudut kebebasan akhbar dirampas permit kekerapan terbitnya dari dua kali seminggu kepada 2 kali sebulan. Siapa punya arahan? Pak Lah selaku Menteri KDN waktu itu. Begitu juga rampasan-rampasan akhbar serta ugutan KDN kepada peniaga-peniaga, dilakukan. Akhbar parti Keadilan sampai sekarang tidak diberi permit. Banyak lagi insiden-insiden yang lain berlaku ketika KDN diperintah oleh Pak Lah. Menunjukkan bahawa, sewaktu Tun Mahathir jadi PM, yang mana Pak Lah sudah jadi Menteri KDN sampailah sekarang Pak Lah masih lagi memegang Menteri KDN. Semuanya menggambarkan tindakan Police State yang membawa kepada penafian hak demokrasi dan hak asasi itu berlaku secara yang meluas. Pak Lah boleh nafi dengan kata-kata. Cuba buat dengan tindakan. Tarik balik sekatan ceramah, beri balik Harakah terbit lapan kali sebulan, luluskan permit Harian Purnama, Suara Keadilan, hapuskan ISA, kaji semula OSA, Akta Polis dan lain-lain.

Apa sepatutnya Pak Lah lakukan dalam keadaan ini?

Sepatutnya, dia bukan menafikan. Bukan semata-mata tak mahu tunduk dengan dakwaan Tun Mahathir. Kalau tuduhan itu dibuat oleh sesiapa sekalipun, seharusnya Pak Lah perbaiki mana-mana kepincangan yang ada mengikut lunas-lunas demokrasi. Sebagai contoh kembalikan Harakah diterbit dua kali seminggu seperti sebelum itu, baru menunjukkan bahawa dia nak buat sesuatu yang lebih baik dari zaman Tun Mahathir jadi PM. Tapi hari ini, saya lihat dia gagal memperlihatkan yang dia lebih baik dari Tun Mahathir. Apa yang rakyat rasa, sesuatu yang lebih buruk, lebih malang dari zaman Tun Mahathir.

Saudara pernah ditahan ISA dalam Operasi Lalang. Pada waktu itu, apa yang Saudara fikir... Boleh cerita sikit pengalaman kena tahan.

Bila Operasi Lalang itu sudah mencekup kawan-kawan saya, sayapun sudah jangka. Mat Sabupun dah kena, Suhaimi Said, Ustaz Bunyamin Yaakob, Khalid Samad dan ramai lagilah. Saya sudah jangka termasuk dalam senarai. Tapi tak tahu bila? Apa yang saya hadapi ialah satu debaran bagaimana keluarga berdepan dengan permasalahan ini bila saya ditangkap. Sebab itu saya terlebih awal bagi tahu isteri supaya harus bersedia menerima kemungkinan-kemungkinan ini. Ternyata setelah kira-kira sebulan kawan-kawan saya ditahan di Kamunting, giliran saya tiba. Jangkaan saya ketika itu, dah sebulan mereka ditahan, takkan ada lagi penahanan baru ISA dilakukan.
Pada waktu itu saya berkampung di Pejabat Perhubungan PAS Kedah, Alor Setar. Kawan-kawan termasuk Allahyarham Dato’ Fadhil Noor meminta saya menetap di pejabat dan tidak pulang ke rumah. Bila sebulan berlalu, jadi saya buat keputusan untuk balik ke rumah. Keadaan sudah reda. Saya pelawa seorang kawan Ku Ahmad belanja makan di bawah Pejabat PAS. Saya kata, kot-kot lepas ni saya kena tangkap. Kemudian saya naik pejabat dan buat keputusan nak balik rumah.
Sayapun berjalan kaki ke stesen bas nak tuju rumah mak mertua saya. Rupa-rupanya, ketika saya melalui Lorong Padi, polis dah ekori saya. Memang saya tak sedar. Seorang anggota polis terpa dan pegang belakang saya, kemudian bagi tahu “Mahfuz, kamu ditahan, kami polis. Naik kereta, ikut kami“. Saya begitu terkejut sebab tak menyangka. Saya terus di bawa ke Balai Polis Alor Setar. Tapi, ketika saya ditahan, seorang pekerja kedai buku majalah berhampiran nampak saya ditahan dan kemudian memaklumkan kepada Haji Ramli, salah seorang petugas Pejabat PAS Kedah.
Pada sebelah petangnya, saya dibawa ke Balai Polis Central, Pulau Pinang. Di situlah saya disoalsiat selama hampir 60 hari. Dua bulan. Ringkaskan cerita, akhirnya saya dihantar ke Kem Tahanan Kamunting.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my

Analisis Isu: Mengapa Mood Pilihan Raya Monopaus Dan Sugul?


Oleh TARMIZI MOHD JAM
Timbalan Pengarah JPN (PAS) Wilayah Persekutuan
Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu


SEMALAM sengaja saya membawa anak-anak ke Rumah Peringatan P Ramlee, tidak jauh dari rumah. Cuacapun agak lembab. Sebelah paginya hujan. Hajat di hati mahu menyudahkan kerja-kerja penyuntingan Majalah Iktisad tetapi kesian pula melihat anak-anak yang terperuk sahaja di rumah sepanjang cuti penggal persekolahan.

Entah berapa kali, saya ke sinipun sudah tidak berapa ingat. Kira-kira 25 minit mundar-mandir, berbelit-belit dengan anak-anak membelek dan membaca “kehebatan” P Ramlee sebagai pengarah, pelakon, penyanyi, pelawak dan entah apa-apa lagi, tiba-tiba bahu kanan saya ditepuk seseorang.

Saya berpaling. Ah… rupa-rupanya seorang rakan yang dulu sama-sama mencari jalan macam mana nak boikot pementasan drama retorik di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Ketika En. Abu Hassan Hasbullah (sekarang Dr. PhD) menjadi pensyarah subjek Retorik. Sebab rakan saya inilah yang beriya-iya mengajak boikot pementasan drama itu, jadi saya cukup ingat akan dia.

“Apa khabar?” Tanya beliau sambil menghulurkan salam. “Eh.. baik. Hang apa habaq?” pintas saya dengan loghat utara walaupun dia kelahiran Johor.

“YB tak tanding pilihan raya ke kali ini? Nampak surat khabar, tv sibuk fokos pilihan raya. Semalam saya ada taklimat. Macam pilihan raya akan dibuat hujung tahun ni. Tapi… mengapa mood rakyat lain sangat? Sugul je?” usik rakan saya itu, macam sedang menjolok respon saya.

Ketika di kampus dulu, dialah rakan yang acapkali memanggil saya YB kerana dia tahu saya pernah bertanding di Dun Bota, dalam Parlimen Parit Negeri Perak pada pilihan raya umum tahun 1995. Dan dia juga antara peminat buku politik tulisan saya sebelum saya “mengaji” bersama-samanya di Jabatan Pengajian Media.

“Awat, hang nampak mood pilihan raya tak hangat ka? Sana-sini PAS buat ceramah. Isu panas-panaspun makin banyak. Tengok Ketua BPR rasuah (?), Johari Baharom rasuah (?). Altantuya lagi panas! Anwar tak duduk diam, ligat turun padang !” umpan saya, takut-takut dia akan terlajak memberikan maklumat baru berkenaan taklimat yang dikatakannya semalam.

Rakan saya itu memberitahu, ada pagawai yang cakap penuh yakin dalam taklimat yang dihadirinya, pilihan raya kali ini milik penuh Pak Lah lagi. Sebab katanya, rakyat tak berapa ambil peduli isu-isu yang dibawa oleh pembangkang. Pegawai itu, kata rakan saya, memahatkan bukti kegagalan pembangkang meraih simpati rakyat terhadap isu kenaikan harga tol, harga petrol dan setinggan sifar sekitar Lembah Klang.

Berapa kerat sahaja, rakyat yang turun? Tunjuk perasaan hanya dikendalikan oleh orang yang sama macam Dr. Hatta, Ezam, Sallehudin, Tian Chua dan beberapa orang lagi. Peserta semua hardcore parti bukan rakyat dalam erti kata sebenar, kata rakan saya mengulas hujah pegawai itu dalam taklimat yang dihadirinya.

Saya tidak sempat berbual panjang, kerana rakan saya kena pergi segera. Ada temu janji katanya di Hotel Astana, Jalan Pekeliling. Sekembali saya ke rumah, kebetulan agaknya, Cikgu Ishak Surin yang kini Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan menghubungi saya menerusi telefon.

Katanya, tengahari tadi, Pejabat Agung PAS yang baru dekat Lorong Haji Taib ada menghubunginya. Tok Guru Nik Aziz berhajat nak jumpa. Kebetulan Tok Guru ada mesyuarat di bangunan baru atau Pejabat Agung PAS yang baru itu. Saya dan Cikgu rasanya belum menjejakkan kaki ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, yang dikatakan sepelaung jaraknya dari PWTC.

Saya terus bergegas ke rumah Cikgu Ishak. Kebetulan memang nak menuju ke kilang percetakan untuk mencetak Tabloid POLITIK@KL bagi bilangan 5. Cikgu Ishak sebenarnya tidak percaya yang Tok Guru Nik Aziz mahu berjumpanya ketika itu. Lalu saya capai telefon bimbit dan cuba menghubungi semula nombor telefon yang dikatakan dari Pejabat Agung PAS itu (maklumlah nombor telefon Pejabat Agung baru ini juga asing sebab belum simpan dalam telefon).

Seorang pagawai yang dikenali sebagai Cik Nurul (memang kami kenali) menjawab. Dia mengesahkan yang memang Tok Guru Nik Aziz mahu berjumpa dengan Cikgu Ishak tengahari tadi, tapi ketika saya call, Tok Guru sudah meninggalkan Pejabat Agung.

Dalam perjalanan menuju kilang, saya membuka topik perbualan mengapa mood rakyat begitu sugul (meminjam kata-kata rakan saya tadi) sekarang ini. Walhal, isu-isu panas begitu bermaharajalela. Bergentayangan. Saban hari, ada sahaja isu yang boleh membenamkan Umno bersama labu-labunya. Cikgu Ishak yang sedang memandu, juga merasakan fenomena itu. Mood rakyat suram, celahnya walaupun benakfikirnya tertanya-tanya mengapa agaknya Tok Guru Nik Aziz nak berjumpa.

Sehingga kini, tidak ada penulis yang berani melabur untuk menerbitkan buku-buku politik semasa. Macam ketika pemecatan Anwar Ibrahim dulu. Baik Yahya Ismail, Lutfi Othman, saya mahupun Pak Habib. Majalah-majalah isu tidak berkala juga tiada siapa yang mahu mencuba nasib. Malah akhbar-akhbar alternatif PAS Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, tidak bernafas lagi. Hanya, kami di Wilayah Persekutuan cuba melawan arus, terus gigih menerbitkan lidah rasmi POLITIK@KL

Bukan tidak ada isu. Isu cukup banyak. Rasuah Ketua BPR, rasuah Timbalan Menteri, rasuah Menteri AP, kecaman Mahathir, kapal layar Pak Lah, jet pribadi PM, bisnes Scomi, Khairi PM Malaysia, jambatan bengkok, kejatuhan saham, rasuah Kasitah, pembelasahan terhadap penunjuk protes tol, petrol; kekejaman terhadap penduduk Kg. Brembang, Kg. Semarak dan banyak lagi kawasan peneroka bandar, IFC, Islam Hadhari dan lain-lain yang sukar dibariskan di sini.

Mengapa sugul ya? Apa dah jadi dengan rakyat kita? Benarkah mereka sudah kurang minat dengan politik? Atau tidak yakin dengan pembangkang? Atau amat berpuashati dengan kepimpinan insan bernama Pak Lah ini?

Tidak payahlah kajian dibuat. Tetapi berdasarkan naluri hati kita, mood politik sekarang cukup sugul dan memualkan. Apa pengukur arasnya juga, tidak perlu diberitahu. Yang penting, belum terlambat untuk PAS & PKR menggerakkan jentera parti masing-masing. Mempersiapkan diri untuk bertarung.

Cuma yang kurang sedap, mood rakyat kini benar-benar monopaus, sugul dan lesu. Barangkali ada yang tak setuju! Ia boleh dibelek dan ditelek sendiri. Ditambah dengan “kehebatan“ puaka pemimpin Umno berpencak silat dengan SPR, dan kita pula gagal membenamkan badan yang tidak bebas itu, maka makin benarlah anggapan pegawai yang berhujah pilihan raya kali ini milik penuh Pak Lah lagi. Daftar Pemilih sudah tentu di sebelah mereka.

Kita khuatir yang amat sangat, mood rakyat yang bangkrap ini akan menjadi tembok kebal menghalang pembangkang mempengaruhi mereka mengundi BA dalam pilihan raya tidak lama lagi. Cuma, untuk “menyedapkan hati“ mungkin ayat ini boleh digunakan: “Rakyat kita sebenarnya protes dalam senyap. Masa ngundi mereka pangkah bulan dan mata. Mereka tak mahu hinggar-binggar macam Pilihan Raya 1999“! Benarkah jawapan ini?

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my

Tawarikh: PAS Tetap Utuh Sekalipun Ramai Pemimpinnya ”Dicincang”

Oleh AF USTAZ DR. AZHARI ARIFFIN
Yang Dipertua PAS Kawasan Lembah Pantai


PARTI Islam SeMalaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 1951 merupakan parti Islam kedua yang diasaskan di negara ini setelah penubuhan Hizbul Muslimin pada 1948 di Gunung Semanggol, Perak. PAS dilihat cuba menterjemahkan realiti cita-cita umat Islam untuk menegakkan sebuah negara Islam dalam era kebangkitan umat Islam setelah lebih 500 tahun dijajah oleh imperialis Barat.

Desakan ke arah tersebut menjadi lebih serius apabila tumbangnya Khilafah Islam Othmaniyyah pada 1924. Justeru, kehadiran PAS di persada politik tanah air ialah bagi memenuhi cita-cita utamanya iaitu untuk melaksanakan segala tuntutan Islam dan bersiasah berdasarkan demokrasi.

Cita-cita ini kemudian berkembang menjadi matlamat perjuangan PAS untuk mewujudkan di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya demi mendapatkan Allah.

Bagi melengkapkan hasrat dan cita-cita murni ini, pindaan terbaru Perlembagaan PAS pada 2001 telah mencatatkan dua tujuan penubuhan PAS iaitu, memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya demi menuju keredaan Allah. Kedua ialah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Umumnya mendapati senario utama perjuangan PAS ialah untuk menegakkan sebuah negara yang melaksana hukum-hukum Allah SWT sepenuhnya dalam pemerintahan atau dalam kata lain, untuk mendirikan negara Islam.

Penubuhan dan Perkembangan PAS

Sebahagian besar pengkajian terhadap sejarah penubuhan PAS telah mengaitkan kemunculan PAS pada 1951 seiring dengan kesedaran umat Islam yang tercetus melalui gerakan pembaharuan yang dipelopori oleh kumpulan reformis di kalangan para ulama pada 1906.

Tokoh-tokoh tersebut antaranya ialah Sheikh Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syed Syeikh Al-Hadi, (1867-1934) Salim Al-Khalali dan Abas Toha yang telah mencetuskan kesedaran semula umat Islam di Tanah Melayu tentang politik Islam melalui bidang penulisan, pendidikan dan persatuan.

Menurut Mohktar Petah, kesedaran politik, ekonomi dan sosial Islam telah dikembangkan oleh seorang tokoh ulama terkenal iaitu Syeikh Junid Thola di Perak. Bahkan Sheikh Junid Thola juga telah memberikan penekanan terhadap kewajiban mendirikan sebuah negara Islam di Tanah Melayu.

Pada zaman pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu (1941-1945), para ulama telah mengadakan beberapa siri persidangan untuk melahirkan terima kasih kepada Jepun kerana membebaskan umat Islam daripada penjajahan Barat di samping berusaha mendesak pemerintah Jepun supaya membantu agama Islam.

Selepas Perang Dunia Kedua, seorang tokoh ulama, Maulana Abdullah Noh dari Kelantan telah menegaskan tentang kewajiban memperjuangkan kewujudan sebuah negara Islam. Kesedaran ini mulai berkembang di Tanah Melayu ekoran kejatuhan Khalifah Othmaniyah pada 1924.

Untuk itu, pada 1947 atas usaha Burhanuddin Al-Helmy dan Abu Bakar Al-Baqir, sebuah sayap agama kepada Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) iaitu Majlis Tertinggi Agama Se-Malaya (MATA) berjaya ditubuhkan. Setahun kemudian, satu persidangan anjuran MATA telah menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM) sebagai sebuah parti Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara dan juga penubuhan negara Islam di Tanah Melayu.

Walau bagaimanapun, dasar radikal HAMIM menyebabkan ia dilumpuhkan oleh Inggeris melalui penahanan beberapa pimpinan utamanya di bawah Ordinan Darurat 1948.. Keadaan ini menyebabkan sebahagian tokoh HAMIM telah menyertai Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO untuk meneruskan agenda siasah mereka. Melalui Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO, usaha-usaha menyatukan ulama Malaya di bawah satu badan telah digerakkan. Rentetan cadangan Majlis Agama Hilir Perak, satu Persidangan Ulama Malaya telah diadakan di Muar, Johor pada 21 Februari 1950.

Selain merumuskan gagasan penubuhan persoalan haji, kolej Islam, penubuhan majlis agama, penyelarasan puasa dan hari raya serta biasiswa pendidikan, persidangan tersebut turut menerima cadangan penubuhan Jam’iyyat al-Dak’wah al-Islamiyyah sebagai sebuah badan dakwah Islam yang dianggotai oleh ulama.


16 bulan kemudian, usaha menggerakkan ulama Malaya kembali aktif apabila tulisan pengerusi Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO, Ahmad Fuad Hassan dalam majalah Suara UMNO yang bertajuk “Ulama Malaya Belum Bersatu dan Tidak punya Organisasi” telah mendesak mesyuarat Jawatankuasa Agung UMNO pada 30 Jun 1951 supaya bersetuju menganjurkan Persidangan Ulama Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Persidangan tersebut telah membincangkan penubuhan sebuah persatuan ulama yang dinamai Persatuan Ulama Malaya dengan sebuah jawatankuasa lima orang yang diketuai Ahmad Fuad dibentuk untuk merangka perlembagaannya.

Menurut Baharuddin Abdul Latif, persidangan pada 23 Ogos 1951 yang turut disertai oleh ulama HAMIM itu telah memperlihatkan riak-riak untuk memisahkan kegiatan ulama daripada terus menjadi satelit UMNO.

Menurut Nasharudin Mat Isa pula, terdapat beberapa faktor pendesak kepada pengasingan diri barisan ulama daripada UMNO; antaranya kedudukan agama Islam yang tidak terjamin dalam UMNO, kegagalan UMNO menangani isu Natrah, persekongkolan UMNO dengan British dan penganjuran fun-fair, loteri dan kaberet oleh UMNO. Selain itu, terdapat usaha menjadikan Persatuan Ulama Malaya sebagai sebuah parti politik Islam seperti mana Majlis Syura Muslimin (Masyumin) di Indonesia.

Persidangan Ulama Malaya Kedua juga menetapkan untuk mengadakan satu persidangan ulama di Bagan Tuan Kecil (Butterworth) pada Disember 1951 yang bertujuan menubuhkan secara rasmi dan mengesahkan Undang-undang Tubuh Persatuan Ulama Malaya. Walau bagaimanapun ia dipercepatkan tiga minggu kepada 24 November 1951 bertempat di Kelab Melayu Bagan.

Dalam persidangan tersebut timbul cadangan untuk mengubah nama Persatuan Ulama Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), di samping lima cadangan nama yang lain. Cadangan nama PAS telah dikemukakan oleh Othman Hamzah, perwakilan daripada Persatuan II Ihya Al-Syariff dan cadangan rasmi nama PAS pula diutarakan oleh Mohammed Ma’som dari Jamaah Masjid Telaga Ayer, Butterworth.

Setelah melalui beberapa perbahasan, akhirnya dipersetujui persatuan tersebut dinamai Persatuan Islam Se-Malaya atau PAS. Bermula penubuhan rasmi di Butterworth pada 24 November 1951, PAS mulai bergerak dan berkembang sebagai sebuah badan siasah umat Islam di Tanah Melayu. Di bawah kepemimpinan pertamanya, Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Di Pertua Agung, PAS telah terlibat secara aktif dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan negara serta membentuk sebuah negara Islam di Malaysia. Realiti ini terus berlangsung sehingga ke dekad ini.

Pada 1953, isu sokongan PAS terhadap usaha menuntut kemerdekaan mula timbul apabila terdapat UMNO dan Malayan Chinese Association (MCA) menganjurkan National Conference manakala Onn Jaafar bersama menteri-menteri besar pula menganjurkan National Convention yang kedua-duanya mempunyai matlamat memperjuangkan kemerdekaan.

Ahmad Fuad yang pada asalnya menyokong Dato’ Onn telah gagal mendapat sokongan ahli-ahli PAS dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan dan menarik diri daripada PAS. Jawatan Yang Dipertua Agung PAS kemudian dipangku oleh Abbas Alias, seorang pegawai perubatan.

Pergerakan PAS yang agak lembab pada awalnya banyak dipengaruhi oleh masalah kepemimpinan ekoran perletakan jawatan Ahmad Fuad dan kedudukan Abbas Alias sebagai pegawai perubatan kerajaan yang bertugas di Mekah. Namun dalam tempoh tiga tahun pertamanya, PAS telah berjaya menubuhkan tiga dewan iaitu Dewan Ulama PAS, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS sebagai jentera utama parti.

Setelah Abbas Alias mengambil alih kepemimpinan secara rasmi pada 1954, PAS telah menyertai beberapa persidangan untuk memperjuangkan kemerdekaan seperti National Conference (1954), Kongres Pemuda Melayu (1955) dan Kongres Kebangsaan Melayu Kedua (1957). PAS juga berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik pada 31 Mei 1955 dan menyertai Pilihanraya Umum 1955.

Desakan masalah kepemimpinan telah menyebabkan beberapa tokoh Dewan Pemuda PAS seperti Othman Abdullah, Mohd Asri Muda, Jamaluddin Amini Marzuki, Hassan Adli Mohd Arshad dan Abu Bakar Hamzah telah berusaha untuk menarik Burhanuddin Al-Helmy dan Zulkifli Mohammed menyertai PAS. Atas usaha Hassan Adli dan Abu Bakar Hamzah, Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya dibawa masuk ke dalam PAS, manakala usaha untuk menarik Zulkifli Mohammed pula dilakukan oleh Jamaluddin Amini.

Penyertaan dua tokoh nasionalis Islam tersebut telah memberikan dampak yang positif kepada PAS apabila PAS berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu pada 1959. Gandingan Burhanuddin Al-Helmy dan Zulkifli Mohammad sebagai teraju utama PAS mulai 1956 ternyata telah mengubah rentak perjuangan PAS. Burhanuddin Al-Helmy telah menggerakkan idea kebangsaan Melayu Islam melalui gagasan Melayu Raya sebagai inti utama perjuangan PAS manakala Zulkifli Mohammed pula memberikan tumpuan kepada usaha untuk membentuk sebuah masyarakat politik berasaskan Islam di Tanah Melayu.

Tegasnya kedua-dua tokoh ini membawa matlamat yang sama iaitu menegakkan negara Islam. Penyertaan Naib Yang Di Pertua Agung PAS, Othman Abdullah ke dalam UMNO pada1962, diikuti oleh kematian Zulkifli Mohammed akibat kemalangan jalan raya di Kuantan pada 1964 dan penahanan Burhanuddin Al-Helmy di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1965 kerana dituduh merancang penubuhan kerajaan dalam buangan ketika isu Konfrontasi Indonesia telah menyebabkan PAS sekali lagi mengalami krisis kepemimpinan. Jawatan Yang DiPertua Agung PAS telah dipangku oleh Mohd Asri Muda, yang juga Menteri Besar Kelantan sehingga 1971.

Setelah empat tahun ditahan di bawah ISA, Burhanuddin Al-Helmy jatuh sakit dan meninggal dunia pada 1969 yang menyebabkan kepemimpinan parti bertukar tangan kepada Mohd Asri Muda pada 1971.

Peristiwa 13 Mei yang tercetus pada 1969 telah membawa impak yang begitu signifikan kepada politik umat Melayu Islam. Keadaan ini telah mendesak PAS membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di Kelantan dan Terengganu pada 1973 sebagai strategi menguatkan semula perpaduan umat Islam.

Pada 1974, PAS bersama tujuh parti lain telah mengasaskan Barisan Nasional (BN) dan berjaya menguasai kerajaan pusat pada 1974. Beberapa pemimpin PAS seperti Mohd Asri Muda dan Hassan Adli telah dilantik sebagai menteri. Walau bagaimanapun, akibat krisis Mohammed Nasir di Kelantan pada 1977 telah menyebabkan PAS disingkir daripada BN dan berlaku beberapa siri perpecahan parti.

Penyingkiran PAS daripada BN dan perpecahan yang berlaku dalam parti telah menjadi punca utama kekalahan PAS di Kelantan pada 1978. Pada masa yang sama, gelombang kebangkitan Islam di kalangan pemuda Islam semakin meruap-ruap terutama ekoran rangsangan daripada tokoh-tokoh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Penyertaan tokoh-tokoh ABIM seperti Fadzil Mohd Noor, Nakhaie Ahmad, Abdul Hadi Awang, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan lain-lain telah menggugat kepemimpinan Mohd Asri Muda.

Dewan Pemuda PAS melalui gagasan kepemimpinan ulama pada 1982 telah memaksa Mohd Asri Muda meletakkan jawatan dan kepemimpinan parti diambil alih oleh Yusof Rawa. Gandingan Yusof Rawa dan Fadzil Mohd Noor pada 1982 sebagai pemimpin utama parti telah dilihat sebagai titik mula kepada era kepemimpinan ulama PAS.

Di bawah kepemimpinan ulama, PAS mulai bangkit dengan memberikan tumpuan kepada gerakan pentarbiyahan ahli dan membina kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang termasuk hubungan dengan non-muslim. Pakatan politik PAS melalui Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dan kerjasama PAS dengan masyarakat Cina melalui Majlis Perunding Cina (CCC) pada 1986 walaupun gagal memenangi Pilihanraya Umum 1986, tetapi telah memulakan era baru dalam strategi politik PAS.

Pada 1988, PAS sekali lagi membuat pakatan politik ekoran pengharaman UMNO pada 1987. Melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU), PAS telah berjaya menguasai semula Kelantan pada 1990.

Kebijaksanaan PAS mengagaskan penubuhan Gagasan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang disertai oleh 14 parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) pada 1998 untuk menangani isu Anwar Ibrahim telah berjaya menarik sokongan pelbagai lapisan rakyat kepada PAS.

GERAK juga telah menjadi asas kepada penubuhan Barisan Alternatif (BA) pada 1999 yang berjaya muncul sebagai pembangkang yang kuat dalam Pilihanraya Umum 1999. Melalui BA juga, PAS telah berjaya menguasai semula Terengganu selain mempertahankan Kelantan dan menjadi pembangkang utama di Parlimen. Apabila Presiden PAS, Fadzil Mohd Noor meninggal dunia pada tahun 2002, jawatan tersebut dipangku pula oleh Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu.

Secara umumnya, perkembangan PAS boleh dilihat dalam beberapa tahap bermula daripada penubuhannya pada 1951 hingga hari ini. Pada peringkat awal (1951), zaman kebangkitan PAS bermula apabila ia berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu pada 1959 dan berada di kemuncak pada 1973 (ketika menyertai Kerajaan Pusat).

Penyingkiran PAS daripada kerajaan pada 1977 menandakan bermulanya era gerhana PAS sementara kejayaannya menguasai semula Kelantan pada 1990 boleh disifatkan sebagai detik kebangkitan semula PAS sehingga hari ini. Dari aspek kepimpinan, Wan Abdul Rahman Latif menyimpulkan bahawa terdapat empat jenis kepemimpinan yang dilalui oleh PAS iaitu kepimpinan ulama tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulama haraki (1982-sekarang).

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my