Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Saturday, July 28, 2007

Tawarikh: PAS Tetap Utuh Sekalipun Ramai Pemimpinnya ”Dicincang”

Oleh AF USTAZ DR. AZHARI ARIFFIN
Yang Dipertua PAS Kawasan Lembah Pantai


PARTI Islam SeMalaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 1951 merupakan parti Islam kedua yang diasaskan di negara ini setelah penubuhan Hizbul Muslimin pada 1948 di Gunung Semanggol, Perak. PAS dilihat cuba menterjemahkan realiti cita-cita umat Islam untuk menegakkan sebuah negara Islam dalam era kebangkitan umat Islam setelah lebih 500 tahun dijajah oleh imperialis Barat.

Desakan ke arah tersebut menjadi lebih serius apabila tumbangnya Khilafah Islam Othmaniyyah pada 1924. Justeru, kehadiran PAS di persada politik tanah air ialah bagi memenuhi cita-cita utamanya iaitu untuk melaksanakan segala tuntutan Islam dan bersiasah berdasarkan demokrasi.

Cita-cita ini kemudian berkembang menjadi matlamat perjuangan PAS untuk mewujudkan di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya demi mendapatkan Allah.

Bagi melengkapkan hasrat dan cita-cita murni ini, pindaan terbaru Perlembagaan PAS pada 2001 telah mencatatkan dua tujuan penubuhan PAS iaitu, memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya demi menuju keredaan Allah. Kedua ialah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Umumnya mendapati senario utama perjuangan PAS ialah untuk menegakkan sebuah negara yang melaksana hukum-hukum Allah SWT sepenuhnya dalam pemerintahan atau dalam kata lain, untuk mendirikan negara Islam.

Penubuhan dan Perkembangan PAS

Sebahagian besar pengkajian terhadap sejarah penubuhan PAS telah mengaitkan kemunculan PAS pada 1951 seiring dengan kesedaran umat Islam yang tercetus melalui gerakan pembaharuan yang dipelopori oleh kumpulan reformis di kalangan para ulama pada 1906.

Tokoh-tokoh tersebut antaranya ialah Sheikh Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syed Syeikh Al-Hadi, (1867-1934) Salim Al-Khalali dan Abas Toha yang telah mencetuskan kesedaran semula umat Islam di Tanah Melayu tentang politik Islam melalui bidang penulisan, pendidikan dan persatuan.

Menurut Mohktar Petah, kesedaran politik, ekonomi dan sosial Islam telah dikembangkan oleh seorang tokoh ulama terkenal iaitu Syeikh Junid Thola di Perak. Bahkan Sheikh Junid Thola juga telah memberikan penekanan terhadap kewajiban mendirikan sebuah negara Islam di Tanah Melayu.

Pada zaman pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu (1941-1945), para ulama telah mengadakan beberapa siri persidangan untuk melahirkan terima kasih kepada Jepun kerana membebaskan umat Islam daripada penjajahan Barat di samping berusaha mendesak pemerintah Jepun supaya membantu agama Islam.

Selepas Perang Dunia Kedua, seorang tokoh ulama, Maulana Abdullah Noh dari Kelantan telah menegaskan tentang kewajiban memperjuangkan kewujudan sebuah negara Islam. Kesedaran ini mulai berkembang di Tanah Melayu ekoran kejatuhan Khalifah Othmaniyah pada 1924.

Untuk itu, pada 1947 atas usaha Burhanuddin Al-Helmy dan Abu Bakar Al-Baqir, sebuah sayap agama kepada Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) iaitu Majlis Tertinggi Agama Se-Malaya (MATA) berjaya ditubuhkan. Setahun kemudian, satu persidangan anjuran MATA telah menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM) sebagai sebuah parti Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara dan juga penubuhan negara Islam di Tanah Melayu.

Walau bagaimanapun, dasar radikal HAMIM menyebabkan ia dilumpuhkan oleh Inggeris melalui penahanan beberapa pimpinan utamanya di bawah Ordinan Darurat 1948.. Keadaan ini menyebabkan sebahagian tokoh HAMIM telah menyertai Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO untuk meneruskan agenda siasah mereka. Melalui Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO, usaha-usaha menyatukan ulama Malaya di bawah satu badan telah digerakkan. Rentetan cadangan Majlis Agama Hilir Perak, satu Persidangan Ulama Malaya telah diadakan di Muar, Johor pada 21 Februari 1950.

Selain merumuskan gagasan penubuhan persoalan haji, kolej Islam, penubuhan majlis agama, penyelarasan puasa dan hari raya serta biasiswa pendidikan, persidangan tersebut turut menerima cadangan penubuhan Jam’iyyat al-Dak’wah al-Islamiyyah sebagai sebuah badan dakwah Islam yang dianggotai oleh ulama.


16 bulan kemudian, usaha menggerakkan ulama Malaya kembali aktif apabila tulisan pengerusi Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO, Ahmad Fuad Hassan dalam majalah Suara UMNO yang bertajuk “Ulama Malaya Belum Bersatu dan Tidak punya Organisasi” telah mendesak mesyuarat Jawatankuasa Agung UMNO pada 30 Jun 1951 supaya bersetuju menganjurkan Persidangan Ulama Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Persidangan tersebut telah membincangkan penubuhan sebuah persatuan ulama yang dinamai Persatuan Ulama Malaya dengan sebuah jawatankuasa lima orang yang diketuai Ahmad Fuad dibentuk untuk merangka perlembagaannya.

Menurut Baharuddin Abdul Latif, persidangan pada 23 Ogos 1951 yang turut disertai oleh ulama HAMIM itu telah memperlihatkan riak-riak untuk memisahkan kegiatan ulama daripada terus menjadi satelit UMNO.

Menurut Nasharudin Mat Isa pula, terdapat beberapa faktor pendesak kepada pengasingan diri barisan ulama daripada UMNO; antaranya kedudukan agama Islam yang tidak terjamin dalam UMNO, kegagalan UMNO menangani isu Natrah, persekongkolan UMNO dengan British dan penganjuran fun-fair, loteri dan kaberet oleh UMNO. Selain itu, terdapat usaha menjadikan Persatuan Ulama Malaya sebagai sebuah parti politik Islam seperti mana Majlis Syura Muslimin (Masyumin) di Indonesia.

Persidangan Ulama Malaya Kedua juga menetapkan untuk mengadakan satu persidangan ulama di Bagan Tuan Kecil (Butterworth) pada Disember 1951 yang bertujuan menubuhkan secara rasmi dan mengesahkan Undang-undang Tubuh Persatuan Ulama Malaya. Walau bagaimanapun ia dipercepatkan tiga minggu kepada 24 November 1951 bertempat di Kelab Melayu Bagan.

Dalam persidangan tersebut timbul cadangan untuk mengubah nama Persatuan Ulama Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), di samping lima cadangan nama yang lain. Cadangan nama PAS telah dikemukakan oleh Othman Hamzah, perwakilan daripada Persatuan II Ihya Al-Syariff dan cadangan rasmi nama PAS pula diutarakan oleh Mohammed Ma’som dari Jamaah Masjid Telaga Ayer, Butterworth.

Setelah melalui beberapa perbahasan, akhirnya dipersetujui persatuan tersebut dinamai Persatuan Islam Se-Malaya atau PAS. Bermula penubuhan rasmi di Butterworth pada 24 November 1951, PAS mulai bergerak dan berkembang sebagai sebuah badan siasah umat Islam di Tanah Melayu. Di bawah kepemimpinan pertamanya, Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Di Pertua Agung, PAS telah terlibat secara aktif dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan negara serta membentuk sebuah negara Islam di Malaysia. Realiti ini terus berlangsung sehingga ke dekad ini.

Pada 1953, isu sokongan PAS terhadap usaha menuntut kemerdekaan mula timbul apabila terdapat UMNO dan Malayan Chinese Association (MCA) menganjurkan National Conference manakala Onn Jaafar bersama menteri-menteri besar pula menganjurkan National Convention yang kedua-duanya mempunyai matlamat memperjuangkan kemerdekaan.

Ahmad Fuad yang pada asalnya menyokong Dato’ Onn telah gagal mendapat sokongan ahli-ahli PAS dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan dan menarik diri daripada PAS. Jawatan Yang Dipertua Agung PAS kemudian dipangku oleh Abbas Alias, seorang pegawai perubatan.

Pergerakan PAS yang agak lembab pada awalnya banyak dipengaruhi oleh masalah kepemimpinan ekoran perletakan jawatan Ahmad Fuad dan kedudukan Abbas Alias sebagai pegawai perubatan kerajaan yang bertugas di Mekah. Namun dalam tempoh tiga tahun pertamanya, PAS telah berjaya menubuhkan tiga dewan iaitu Dewan Ulama PAS, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS sebagai jentera utama parti.

Setelah Abbas Alias mengambil alih kepemimpinan secara rasmi pada 1954, PAS telah menyertai beberapa persidangan untuk memperjuangkan kemerdekaan seperti National Conference (1954), Kongres Pemuda Melayu (1955) dan Kongres Kebangsaan Melayu Kedua (1957). PAS juga berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik pada 31 Mei 1955 dan menyertai Pilihanraya Umum 1955.

Desakan masalah kepemimpinan telah menyebabkan beberapa tokoh Dewan Pemuda PAS seperti Othman Abdullah, Mohd Asri Muda, Jamaluddin Amini Marzuki, Hassan Adli Mohd Arshad dan Abu Bakar Hamzah telah berusaha untuk menarik Burhanuddin Al-Helmy dan Zulkifli Mohammed menyertai PAS. Atas usaha Hassan Adli dan Abu Bakar Hamzah, Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya dibawa masuk ke dalam PAS, manakala usaha untuk menarik Zulkifli Mohammed pula dilakukan oleh Jamaluddin Amini.

Penyertaan dua tokoh nasionalis Islam tersebut telah memberikan dampak yang positif kepada PAS apabila PAS berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu pada 1959. Gandingan Burhanuddin Al-Helmy dan Zulkifli Mohammad sebagai teraju utama PAS mulai 1956 ternyata telah mengubah rentak perjuangan PAS. Burhanuddin Al-Helmy telah menggerakkan idea kebangsaan Melayu Islam melalui gagasan Melayu Raya sebagai inti utama perjuangan PAS manakala Zulkifli Mohammed pula memberikan tumpuan kepada usaha untuk membentuk sebuah masyarakat politik berasaskan Islam di Tanah Melayu.

Tegasnya kedua-dua tokoh ini membawa matlamat yang sama iaitu menegakkan negara Islam. Penyertaan Naib Yang Di Pertua Agung PAS, Othman Abdullah ke dalam UMNO pada1962, diikuti oleh kematian Zulkifli Mohammed akibat kemalangan jalan raya di Kuantan pada 1964 dan penahanan Burhanuddin Al-Helmy di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1965 kerana dituduh merancang penubuhan kerajaan dalam buangan ketika isu Konfrontasi Indonesia telah menyebabkan PAS sekali lagi mengalami krisis kepemimpinan. Jawatan Yang DiPertua Agung PAS telah dipangku oleh Mohd Asri Muda, yang juga Menteri Besar Kelantan sehingga 1971.

Setelah empat tahun ditahan di bawah ISA, Burhanuddin Al-Helmy jatuh sakit dan meninggal dunia pada 1969 yang menyebabkan kepemimpinan parti bertukar tangan kepada Mohd Asri Muda pada 1971.

Peristiwa 13 Mei yang tercetus pada 1969 telah membawa impak yang begitu signifikan kepada politik umat Melayu Islam. Keadaan ini telah mendesak PAS membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di Kelantan dan Terengganu pada 1973 sebagai strategi menguatkan semula perpaduan umat Islam.

Pada 1974, PAS bersama tujuh parti lain telah mengasaskan Barisan Nasional (BN) dan berjaya menguasai kerajaan pusat pada 1974. Beberapa pemimpin PAS seperti Mohd Asri Muda dan Hassan Adli telah dilantik sebagai menteri. Walau bagaimanapun, akibat krisis Mohammed Nasir di Kelantan pada 1977 telah menyebabkan PAS disingkir daripada BN dan berlaku beberapa siri perpecahan parti.

Penyingkiran PAS daripada BN dan perpecahan yang berlaku dalam parti telah menjadi punca utama kekalahan PAS di Kelantan pada 1978. Pada masa yang sama, gelombang kebangkitan Islam di kalangan pemuda Islam semakin meruap-ruap terutama ekoran rangsangan daripada tokoh-tokoh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Penyertaan tokoh-tokoh ABIM seperti Fadzil Mohd Noor, Nakhaie Ahmad, Abdul Hadi Awang, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan lain-lain telah menggugat kepemimpinan Mohd Asri Muda.

Dewan Pemuda PAS melalui gagasan kepemimpinan ulama pada 1982 telah memaksa Mohd Asri Muda meletakkan jawatan dan kepemimpinan parti diambil alih oleh Yusof Rawa. Gandingan Yusof Rawa dan Fadzil Mohd Noor pada 1982 sebagai pemimpin utama parti telah dilihat sebagai titik mula kepada era kepemimpinan ulama PAS.

Di bawah kepemimpinan ulama, PAS mulai bangkit dengan memberikan tumpuan kepada gerakan pentarbiyahan ahli dan membina kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang termasuk hubungan dengan non-muslim. Pakatan politik PAS melalui Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dan kerjasama PAS dengan masyarakat Cina melalui Majlis Perunding Cina (CCC) pada 1986 walaupun gagal memenangi Pilihanraya Umum 1986, tetapi telah memulakan era baru dalam strategi politik PAS.

Pada 1988, PAS sekali lagi membuat pakatan politik ekoran pengharaman UMNO pada 1987. Melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU), PAS telah berjaya menguasai semula Kelantan pada 1990.

Kebijaksanaan PAS mengagaskan penubuhan Gagasan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang disertai oleh 14 parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) pada 1998 untuk menangani isu Anwar Ibrahim telah berjaya menarik sokongan pelbagai lapisan rakyat kepada PAS.

GERAK juga telah menjadi asas kepada penubuhan Barisan Alternatif (BA) pada 1999 yang berjaya muncul sebagai pembangkang yang kuat dalam Pilihanraya Umum 1999. Melalui BA juga, PAS telah berjaya menguasai semula Terengganu selain mempertahankan Kelantan dan menjadi pembangkang utama di Parlimen. Apabila Presiden PAS, Fadzil Mohd Noor meninggal dunia pada tahun 2002, jawatan tersebut dipangku pula oleh Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu.

Secara umumnya, perkembangan PAS boleh dilihat dalam beberapa tahap bermula daripada penubuhannya pada 1951 hingga hari ini. Pada peringkat awal (1951), zaman kebangkitan PAS bermula apabila ia berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu pada 1959 dan berada di kemuncak pada 1973 (ketika menyertai Kerajaan Pusat).

Penyingkiran PAS daripada kerajaan pada 1977 menandakan bermulanya era gerhana PAS sementara kejayaannya menguasai semula Kelantan pada 1990 boleh disifatkan sebagai detik kebangkitan semula PAS sehingga hari ini. Dari aspek kepimpinan, Wan Abdul Rahman Latif menyimpulkan bahawa terdapat empat jenis kepemimpinan yang dilalui oleh PAS iaitu kepimpinan ulama tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulama haraki (1982-sekarang).

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my

No comments: