Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Saturday, July 28, 2007

Fokus Isu: Mengapa Pak Lah Tak Buka Quran Tengok ISA?

Oleh CIKGU HAJI ISHAK SURIN
Pengarah JPN (PAS) Wilayah Persekutuan / Timbalan Pengerusi

Lajnah Hal Ehwal Pekerja & Peneroka Bandar PAS Pusat
Yang Dipertua PAS Kawasan Batu

SUDAH tiba masanya Pak Lah, anak dan cucu ulama tersohor, dari Pulau Pinang ini, selak al-Quran, cari panduan; Apakah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu serasi dengan hujah Allah atau tidak?

Mengapa undang-undang rimba itu dipertahankan benar-benar sebalikya hukum-hakam Allah yang wajib dilaksanakan pada peringkat pentadbiran, dilaberal-laberalkan? Dulu Pak Lah tiada kuasa. Maka tiada power untuk berbuat demikian. Kini, Pak Lah diberi kuasa. Mengapa menangguh? Mengapa tidak hapuskan akta-akta rimba yang menyenak dan jelas bercanggah dengan prinsip Islam?

Walaupun beberapa negara di dunia mempunyai undang-undang tanpa bicara yang kebanyakkannya diwujudkan selepas Peristiwa 9-11 sebagai langkah kecemasan, tetapi undang-undang mereka mempunyai sekatan dan imbangan (check and balance) yang ketat supaya kepentingan menjaga keselamatan negara diseimbangkan dengan hak asasi seseorang individu.

Dalam semua undang-undang tersebut, jangka masa seseorang itu ditahan hanya untuk beberapa hari sahaja. Selepas itu, orang yag ditahan mestilah dihadapkan ke mahkamah atau dibebaskan.

ISA di Malaysia bukan begitu. Mangsa boleh ditahan oleh pihak polis selama 60 hari untuk siasatan yakni selama dua bulan. Lama tu! Selepas itu, tahanan akan dikenakan perintah tahanan di Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun (minima).

Apabila tempoh dua tahun genap, perintah tahanan boleh disambung dua tahun lagi, kemudian dua tahun lagi sehingga bila-bila atas keputusan yang dibuat oleh polis dan Menteri Dalam Negeri berdasarkan laporan dari satu lembaga penasihat yang jelas tidak bebas.

Sehingga kini terdapat lebih kurang 97 orang yang disimpan di bawah undang-undang rimba ISA ini, termasuk lebih kurang 60 orang yang dituduh sebagai anggota “KMM” dan 6 “JI”. Menjelang September 2006 yang lalu, tahanan “KMM” telah ditahan selama 5 tahun tanpa didakwa dan tidak pernah disab itkan atas apa-apa kesalahan.

Antara Januari dan Disember 2006, 38 orang dari kumpulan “JI” akan genap menjalani tempoh penahanan selama 4 tahun – tanpa langsung diberi peluang membela diri.

Sifirnya begitu mudah. Jika ada bukti terhadap apa yang mereka lakukan, pastilah pihak polis sudah mendakwa mereka di mahkamah terbuka dan dijatuhkan hukuman. ISA hanyalah kurungan biadap kepada tahanan yang memang tidak boleh dibuktikan kesalahan mereka.

Apabila tempoh penahanan diperbaharui, kerajaan mengatakan tahanan perlu kepada pemulihan atau kaunseling. Tetapi, jika mereka tidak pernah dibuktikan bersalah, apakah yang perlu dipulihkan? Sepatutya, pihak penahan (BN dan Umno) yang menggunakan ISA ini yang patut “dipulihkan” dari kerakusan dan penyalahgunaan undang-undang rimba ini untuk kepentingan politik sempit mereka.

Pejelasan berdolak-dalik kerajaan mengenai penahanan mereka hanyalah mengesahkan prasangka bahawa tahanan “KMM” dan “JI” ditahan adalah atas permintaan Amerika sebagai sebahagian dari agenda Amerika memerangi keganasan yakni satu tindakan yang amat-amat diragui.

Di Indonesia, tidak terkecuali telah menyaksikan beberapa serangan pengganas dan ramai rakyatnya ditangkap atas tekanan Amerika. Tetapi Indonesia berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan berpegang teguh kepada hak asasi manusia dengan hanya menangkap mereka yang mempunyai bukti terlibat dan kemudian diberikan hak melalui perbicaraan terbuka di mahkamah.

Di Filipina juga, tiada undang-undang seumpama ISA ini walaupun negaranya mempunyai masalah yang berlarutan dengan pejuang pemisah yang telah meragut banyak nyawa.

Jika dibandingkan dengan Malaysia yang tidak pernah berlakunya serangan pengganas, tiba-tiba menyimpan hampir 100 orang tahanan yang disyaki pengganas untuk tempoh yang panjang tanpa memberikan hak seincipun untuk mereka dibicarakan dengan adil.

Apa yang dikemukakan oleh SUHAKAM tidak dipedulikan. SUHAKAM mengulas: “Sejarah menunjukkan bahawa undang-undang dan amalan berkaitan ISA telah menjejaskan kedudukan hak asasi di Malaysia”.

Ulasan lain: “Di bawah ISA, warga negara dan bukan warga negara Malaysia telah ditahan secara arbitrari (sewenang-wenangnya) dan diberi layanan di luar batas kemanusiaan dan disiksa semasa dalam tahanan. Kekhuatiran ini mempunyai asas yang kukuh”. Malah komen ekstrem yang lain SUHAKAM: “Adalah dicadangkan agar ISA dimansuhkan…”

Untuk pengetahuan kita, ISA telah digubal pada tahun 1960 sebagai undang-undang dharurat dan kini sepatutnya ia telah dimansuhkan sebaik sahaja dharurat tamat. Tetapi kerajaan mengekalkannya untuk dijadikan senjata penting bagi menangani masalah “dharurat” terutama yang bersifat politik (mengancam BN).

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

No comments: