Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Saturday, July 28, 2007

Tarbiyyah: Di Mana Akauntibiliti Pemimpin Gerakan Islam?

Oleh HAJI MUHAMAD SABU
Naib Presiden PAS Pusat

Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Mobilisasi Demokrasi
Mantan Ahli Parlimen Nilam Puri, Kubang Krian & Kuala Kedah


APAKALI kita didendangkan oleh tok-tok guru, alim ulama dan ustaz-ustaz yang memberitahu bahawa “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam”.

Itulah realti sebenar. Tamaddun yang dilahirkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW, yang telah mewujudkan kerajaan Islam di Madinah.

Inilah RasullulLah yang bersifat sebagai Ketua Negara; Ketua Negara dengan rakyatnya, Ketua Negara dengan negara jirannya, Ketua Negara dengan rumahtangganya, Ketua Negara dengan musuh-musuhnya dan lain-lain perkara yang meliputi segala urusan kehidupan manusia.

Tamaddun yang dilahirkan oleh Islam bukanlah tamaddun kebendaan. Tetapi suatu ketamaddunan yang mengatasi teori kebendaan yang dipelopori oleh Rome dan Parsi pada waktu itu. Pembangunan yang hebat di Rome dan Parsi telah dicabar oleh kebangkitan ketamaddunan Islam.

Bukan bangunan pencakar langit yang diwujudkan di Madinah. Tiada projek mega atau projek luar biasa. Bukan patung gah! Bukan juga ukiran ternama. Tetapi suatu sifat akauntibility (pertanggungjawaban) yang berjaya dilahirkan oleh sistem tamaddun Islam ini.

Senario ketika itu, memperjelaskan kepada kita bagaimana seorang Ketua Negara begitu bertanggungjawab dan amat prihatin dengan segala persoalan dan isu dibawah pentadbirannya.

Begitu jugalah rakyatnya, yang terbukti kaya dengan sifat tanggungjawab sesama sendiri malah lebih dari itu mereka berani untuk menegur (mengkritik) kerajaan, jika terdapat salah dan silap.

Terlalu banyak cerita dan iktibar yang boleh dikutip darihal akauntibility ini terutama sepanjang zaman pemerintahan empat khalifah yakni Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Othman dan Ali.

Pernah dinukil dalam suatu kisah yang mashyur; Syaidina Abu Bakar telah ditegur (dikritik) oleh anakanda RasullulLah SAW sendiri iaitu Syaitina Fatimah dalam isu tanah.

Begitu juga, Syaidina Umar pernah ditegur dalam isu mahar, isu pembahagian harta kepada golongan veteran dan golongan baru yang memeluk Islam.

Malah dalam satu kes, Syaidina Umar sebagai Ketua Negara pernah juga menegur seorang Gabenor yang dihantarnya untuk bertugas di Yaman, pergi dengan sehelai sepinggang tetapi balik dalam “keadaan” yang agak mewah.

Hal ini sudah tentu mengaibkan kerana “kemewahan” itu tidak akan dikecapi hanya dengan gaji yang diberikan. Dan ini sudah tentu berlaku penyelewengan apabila Gabenor berkenaan menikmati “kemewahan” itu dari pemberian hadiah dan sebagainya dari orang ramai. Ia telah menimbulkan kemarahan Syaidina Umar lalu mengambil tindakan ke atasnya.

Ini semua sejarah dan teladan yang diketahui oleh umat Islam dan dikuliyyahkan pada setiap masa. Kisah klasik yang sangat popular darihal Khalifah Umar Abdul Aziz sewaktu menjadi Ketua Negara, yang berjaya mengembalikan pemerintahan dengan adil berbanding sebelumnya.

Sikap akauntibility yang menjadi tonggak pemerintahannya dapat digambarkan dari satu iktibar bagaimana beliau memadamkan api pelita milik kerajaan ketika menulis surat untuk kaum keluarganya tetapi menggunakan api pelita itu hanya untuk urusan yang berkaitan dengan kerajaannya sahaja.

Inilah yang menyebabkan Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam. Tetapi, akhirya ianya hanya menjadi teori apabila negara-negara Islam selepas itu, ditegakkan secara monarki melalui pemerintahan keturunan seperti yang berlaku di Turki, India, Arab Saudi dan lain-lain negara lagi.

Selepas itu berlakulah kejatuhanan tamaddun Islam dengan dahsyatnya, dan yang tinggal hanyalah ilmu-ilmu Islam yang dipusakai hinggalah ke hari ini.

Sekarang dikatakan zaman kebangkitan semula Islam. Dan ini sudah tentu kebangkitan kembali tamaddunnya yang telah runtuh dahulu. Umat Islam hari ini hanya mengenali tamaddun Sepanyol, England, Itali dan negara-negara lain yang pernah menjajah mereka.

Kini, umat Islam cuba untuk bangun. Cuba untuk menegakkan tamaddun itu.
Tetapi saya lihat, umat Islam masih gagal untuk menzahirkan tamaddun mereka. Dan apabila mereka diberi peluang untuk memimpin dan berkuasa, kumpulan Islam belum dapat dan belum mampu untuk mengatasi tarbiyyah dan pendidikan yang dipraktikkan oleh England dan Barat.

Apa yang dilakukan oleh Barat yang umat Islam sendiri tidak boleh menafikannya ialah kejayaan dan keberkesanan mereka mewujudkan pegawai atau pemerintah dan rakyat yang kuat berpegang kepada akauntibiliy.

Sebenarnya, itulah sifat yang dipelopori oleh Islam dahulu di zaman RasullulLah SAW dan para Khalifah. Tetapi, sifat itu kini dipraktik sepenuhnya oleh Barat.

Apabila saya memperkatakan soal tarbiyyah atau pendidikan ini, jika dirujuk kepada doktrin tarbiyyah atau pendidikan yang dipraktikkan oleh PAS, Abim dan Jim; antara kumpulan Islam yang tersohor di negara ini, saya tidak nampak kumpulan-kumpulan ini mampu melahirkan petugas atau amilin yang boleh mengatasi sifat akauntibility yang dilahirkan oleh sistem Barat.

Misalnya, pentadbir-pentadbir yang dididik oleh Barat, saya nampak mereka lebih bertanggungjawab kepada tugasannya dan orang yang ditadbirnya. Mereka menjadi hamba kepada rakyat itu!

Di Malaysia, sebagai contoh, terdapat individu yang terdidik dengan sistem Barat ini yang memang cukup terkenal dengan sifat kredibiliti akauntibility mereka, seperti Tan Sri Ahmad Nordin, Tan Sri Harun Hasyim, Tun Salleh Abbas dan termasuklah bekas Pengerusi Kohilal, Allahyarham Haji Ismail Abdullah.

Sikap mereka untuk menjaga harta orang awam, hak orang ramai dan menjadi pentadbir kepada orang yang ditadbir memang ternyata wujud. Bukannya Barat itu lebih baik tetapi kelemahan berpunca dari umat Islam itu sendiri.

Buat masa ini, saya melihat akauntibility dari Barat itu ternyata lebih baik!

Kecuali umat Islam mengambil senario atau kemelut ini sebagai suatu cabaran supaya kita dapat melahirkan masyarakat terutama sekali diperingkat orang yang ditarbiyyah atau dididik ini bersifat akauntibility.

Apabila kumpulan diberi kuasa untuk memerintah, sifat yang paling utama diberi perhatian ialah memberikan kesejahteraan dan kehormonian kepada rakyat.

Bukan kita berebut peluang kebendaan dan kenikmatan untuk diri kita terlebih dahulu. Buat masa sekarang saya tidak nampak ada perubahan, misalnya, stail kehidupan pegawai-pegawai Jabatan Hutan di Kelantan dengan pegawai-pegawai Jabatan Hutan di Perak dan di Pahang.

Begitu jugalah, dalam isu-isu atau kekeliruan-kekeliruan dalam kita membezakan antara harta peribadi dengan harta awam. Iktibar dari kisah Syaidina Umar Abdul Aziz masih jauh untuk ditekuni.

Sedangkan selepas Umar Abdul Aziz lahir, genarasi yang mewujudkan suatu tamaddun gemilang Islam inilah yang akhirnya dipakai oleh Barat. Adalah terlalu jauh lagi, untuk kumpulan Islam mempraktikkan apa yang diamalkan oleh Umar.

Terlalu banyak peninggalan Umar ditiru oleh Barat tetapi tidak mampu dizahirkan oleh pemerintah dari kalangan umat Islam.

Pada pendapat saya, itu bukan salah Islam tetapi kelemahan umat dan barangkali cara doktrin pemimpin-pemimpin dalam gerakan Islam sudah tersilap dan perkara ini perlu dibetulkan kembali supaya kehidupan khalifah seperti Umar Abdul Aziz dan empat khalifah yang lain dapat diketengahkan.

Seringkali saya tegaskan, pada zaman khalifah ini, apabila orang mencari di mana istana khalifah, mereka tidak jumpa istana khalifah dan pada waktu itulah Islam berjaya mengalahkan Rome dan Parsi iaitu dua kuasa besar pada waktu itu.

Apabila pemimpin Islam tinggal dalam istana-istana yang hebat-hebat maka di waktu itulah umat Islam dijajah. Jika kita ingin kembali kepada tamaddun Islam yang cemerlang itu maka kita mestilah kembalikan pemimpin Islam yang hidup bersama rakyat.

Kehidupannya, kalau tidak setarafpun, sekurang-kurangnya pemimpin mesti tahu denyut nadi rakyat dan tidak menjadikan kedudukan sebagai habuan perjuangan semata-mata.

Misalnya, setelah kita (PAS) berjuang 40 ke 50 tahun, kita berkata “…apa salahnya, kita dapat nikmat hidup diakhir hayat kita”. Kata-kata begini, jika ditakdirkan berpeluang mendapat kuasa, akan menyebabkan kita membolot apa yang ada di sekeliling kita sedangkan orang-orang bawah yang berjuang bersama kita dahulu, tidak menikmat apa-apa seperti yang kita dapat.

Jika benar kita mahu meletakkan Islam itu lebih tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam, maka kita hendaklah mengkaji semula sistem tarbiyyah kita supaya kita dapat mempamerkan sifat akauntibility yang lebih baik dari apa yang dididik oleh Barat.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

No comments: