Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Saturday, July 28, 2007

Ann Wan Seng Akui PAS Gagal Fahami Budaya Cina


Oleh ABDUL MANAN ABDUL GHANI
Bendahari Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu


Padang Balang: Mantan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ann Wan Seng menolak tanggapan kononnya kaum Cina di Malaysia tidak mengundi PAS. Sebaliknya, jelas beliau, undi Cina menjadi undi penentu dalam satu-satu UPU atau saluran mengundi di kebanyakan tempat yang ditandingi oleh PAS.

PAS harus lebih mendalam lagi mengenali kaum Cina yang terdiri dari pelbagai suku di negara supaya pelbagai strategi yang dipasang “mengena”. Ini kerana, pada masa ini, kaum Cina berada dalam tekanan hidup setelah kejatuhan ekonomi dan lebih banyak perniagaan orang Cina kini lingkup kerana dasar ekonomi BN yang melumpuhkan mereka.

Jika PAS kuat dan benar-benar menjadi alternative kepada BN, Ann yakin, kaum Cina akan dengan sendirinya menyokong PAS atau BA. Mereka ini, katanya lagi, sama seperti lalang, mengikut arah angin bertiup.

Ann Wan Seng yang kini dilantik Setiausaha Agung PERKIM adalah panel undangan dalam “Debat Kontemporari Siasah” anjuran Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu. Program menarik itu telah dilancarkan oleh Pengarah JPN Wilayah Persekutuan, Cikgu Ishak Surin di PASTI Kg. Padang Balang.

“Kaum Cina yang beragama Islam di China jauh lebih besar dari jumlah orang Malayu yang beragama Islam di Malaysia. Orang Muslim China lebih 100 juta orang. Sebab itu, Islam bagi orang Cina bukannya suatu yang asing,” ujar beliau dengan penuh semangat.

Malah katanya, Laksanama Cheng Ho yang diutuskan oleh Kerajaan China pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka adalah orang Cina yang beragama Islam. Cheng Ho sangat dihormati oleh kaum Cina di Malaysia hingga banyak tokong-tokong Cheng Ho dibina.

Ann amat yakin, kaum Cina di Malaysia memang menyokong PAS jika PAS dapat menunjukkan kebolehan dan keupayaan memerintah dan menonjolkan Islam sebagai suatu dasar yang adil dalam segala aspek kehidupan mereka.

Sehingga kini, Ann Wan Seng telah menulis pelbagai buku akademi, motivasi dan politik. Antara buku yang terlaris dijual oleh PTS Distributions Sdn. Bhd. ialah “Rahsia Perniagaan Orang Cina”. Beliau juga adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my.

No comments: