Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Monday, August 27, 2007

KEMPEN 50 TAHUN MERDEKA: PENGKHIANAT, PEMBOHONG & PENUH RACUN!


Batu: PAS Kawasan Batu telah menghantar Memorandum Membantah Jenayah Akademik pemimpin Umno yang berselindung di sebalik nama Kerajaan Malaysia yang kini sibuk dan ghairah menonjolkan kononnya pemimpin Umnolah yang telah merintis dan menuntut kemerdekaan tanahair yang tercinta ini.

PAS Kawasan Batu menyifatkan Kempen 50 Tahun Merdeka sekarang tidak lebih dari kempen ulang tahun Umno. Malah lebih teruk ianya menjadi kempen untuk menafikan pejuang-pejuang tulen kemerdekaan yang telah dibunuh, disumbat dalam penjara dan diharamkan wadah perjuangan mereka dengan menonjokan Tunku, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahadhir dan Pak Lah sebagai idola dan icon pejuang kemerdekaan.

Rakyat Malaysia cuba dikelirukan dengan menyembunyikan fakta sejarah berkenaan perjuangan kemerdekaan sebenar. Mereka cuba menutup pintu hati rakyat dari mendekati Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhamad, Ustaz Abu Baqir Bakar dan ramai lagi.

Kerajaan Malaysia patut memohon maaf atas keterlanjuran dan kebiadapannya mengusung Kempen 50 Tahun Merdeka yang penuh fitnah dan gembar-gembur politik. Kempen ini adalah perang saraf paling berkesan pada abad ini hingga banyak pihak terikut-ikut rentak mereka dalam mneyambut perayaan 50 tahun merdeka.

Namun, tiada siapa yang memberi alternatif kepada sambutan 50 tahun merdeka. Tiada inisiatif mana-mana pihak yang menonjolkan gambar-gambar pejuang kemerdekaan tulen pada banner dan badrop program sambutan 50 tahun merdeka anjuran mereka.
Turut menemani Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin menyerahkan memorandum tersebut ialah Timbalan YDP, Haji Suhaimi Abdul Rahman, Naib YDP, Haji Jamhor Nawawi, Setiausaha, Haji Ismail Yahya, Ketua Penerangan, Tarmizi Mohd Jam, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Ibrahim Awang, Ahmad Hasyim, Ustaz Marzuki dan Exco Lajnah Penerangan PAS Batu, Mohamad Nawi.
Mereka turut diiringi oleh wartawan Harakah, Saidah Hairan dan Nyza Ayob. Setelah diberitahu Menterinya, Rais Yatim ada di Melaka, kami menunggu lebih kurang 15 minit untuk menyerahkan memorandum itu hinggalah Setiausaha Akhbar Menteri, Jamudin Idris menemui kami. Dalam pertemuan singkat itu, Cikgu Ishak dan Tarmizi Mohd Jam sempat membicarakan sedikit isi kandungan memorandum tersebut.
Jamuddin berjanji akan memanjangkan memorandum itu ke pengetahuan Datuk Rais Yatim sekembalinya dari Melaka kelak.

Berikut, kami siarkan memorandum penuh PAS Kawasan Batu terhadap Kerajaan Malaysia yang KekWa mnejadi hos utama kepada perayaan 50 Tahun Merdeka ini. Selamat menelaah kandungannya. - Editor



















YB Datuk Seri,

MEMORANDUM MEMBANTAH PEMALSUAN SEJARAH DALAM SAMBUTAN 50 TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA

PERKARA di atas adalah dirujuk. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Parlimen Batu (PAS Kawasan Batu) memandang serius propaganda dan kegiatan ‘jenayah akademik’ yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan mengadakan Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Negara pada tahun ini. Yang lebih jelas, propaganda-propaganda ini lebih bersifat untuk mengelirukan rakyat menjelang Pilihanraya Umum Ke-12 yang dijangka berlangsung pada tahun ini.

PAS Kawasan Batu amat kesal kerana Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KeKKWa) sebagai hos sambutan telah menafikan fakta-fakta sejarah tentang kemerdekaan, sebaliknya cuba mengangkat Umno sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Sama ada kita sedar atau tidak, hakikat sebenar siapa pengasas kemerdekaan ini tidak boleh dinafikan dipelopori oleh para ulamak. Memang benar istilah “merdeka” tidak dibangkitkan pada peringkat awal, khususnya semenjak 1511, tetapi para ulamak membangkitkan soal jihad mempertahankan ketuanan bangsa Melayu Islam daripada penjajah Barat.

Jika kita meneliti “Silalatus Salatin” atau “Sejarah Melayu” tulisan Tun Seri Lanang yang diangkat oleh KeKKWa sebagai warisan negara itu, jelas tercatat bagaimana peranan ulamak dalam mempertahankan kemerdekaan negara. Soal berjaya atau tidak kemerdekaan itu dipertahankan ialah perkara kedua, isu utamanya mereka berusaha mempertahankan kemerdekaan.

Tulisan-tulisan para “sarjana di luar istana” yang cuba menungkap sumbangan sumbangan ulamak terhadap kemerdekaan amat jelas menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan terasas beratus-ratus tahun sebelum lahirnya Umno. Bahkan, apabila kita mendapati tokoh-tokoh ulamak besar seperti Sheikh Daud al-Fathani, Sheikh Abdul Samad Falembani dan Sheikh Mas’ud al-Banjari yang berjihad sehingga dua daripada mereka syahid dalam mempertahankan Tanah Melayu daripada penjajahan Siam pada 1830-an, maka sedarlah kita bahawa para ulamak telah berkorban untuk kemerdekaan negara.

Bagi orang-orang Minang seperti YB Datuk Seri, nama-nama besar seperti Haji Miskin, Tuanku Imam Bonjol dan Tuanku Tambusai (kuburnya di Negeri Sembilan) bersama ulamak-ulamak ‘harimau nan delapan’ telah berjihad menentang Belanda dalam Perang Paderi (1816-1833).

Kemudian daripada mereka lahirnya generasi ulamak perjuang seperti Haji Abdul Karim Amrullah (HAKA), Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), Haji Jamil Jambek dan lain-lain yang berada di barisan depan perjuangan menentang Belanda.

Hakikat serupa juga berlaku di Tanah Melayu apabila para ulamak daripada Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pattani khususnya berusaha keras untuk mempertahankan kemerdekaan tanah air. Terengganu, sebagai negeri terakhir menerima pengaruh British pada 1919 disebabkan oleh peranan ulamak seperti Tokku Paloh (m. 1917) dan Sultan Zainal Abidin III (m. 1918) iaitu seorang sultan yang alim. Kematian dua tokoh ulamak ini telah menyebabkan Terengganu dikuasai British.

Kebangkitan Tok Janggut di Kelantan pada 1915 dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pada 1922-1928 bukanlah kerana isu cukai tanah semata-mata, tetapi mereka adalah ulamak yang membakar semangat jihad ke atas penjajah yang telah dibuktikan oleh kajian-kajian yang berautoriti.

Bahkan, seperti yang dipersetujui oleh semua sarjana bahawa tahun 1906 sebagai bermulanya nasionalisme orang Melayu adalah diasaskan kepada terbitnya majalah “Al-Imam” yang diusahakan tokoh-tokoh ulamak seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abbas Taha dan Syed Sheikh al-Hadi.

Selain usaha kerana para ulamak mempertahankan kemerdekaan negara semenjak 1511 iaitu 435 tahun sebelum kelahiran Umno, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan juga ialah kemunculan golongan cerdik pandai berpendidikan Melayu, khususnya lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC).

Kemunculan tokoh-tokoh nasionalis seperti Ibrahim Haji Yaakub, Mustafa Hussein, Ishak Haji Mohamed, Ahmad Boestamam dan lain-lain di bawah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1937 telah membangkitkan soal kemerdekaan negara. Mereka berjuang untuk kemerdekaan penuh tanpa berkerjasama dengan penjajah sehingga dicap sebagai “golongan kiri” dan dituduh komunis oleh British.

Jika laungan “merdeka” diambil kira sebagai asas perjuangan, maka golongan kiri ini 15 tahun lebih awal daripada Umno bercakap dan berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Kemunculan parti Islam, Hizbul Muslimin pada 1948 dengan tujuan “Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan” jelas menunjukkan pemikiran ulamak ketika itu yang mahukan kemerdekaan penuh daripada penjajah sehingga Islam boleh ditegakkan.
Hujah-hujah ‘palsu’ yang dibuat oleh kerajaan dalam propaganda mereka bagi menyatakan Umno sebagai pejuang sebenar kemerdekaan negara tidak boleh dipertahankan oleh KeKKWa sendiri.

Ketika KeKKWa menganjurkan Seminar Memperingati 100 Tahun Kelahiran Tunku Abdul Rahman Putra: Bapa Kemerdekaan dan Pengasas Perpaduan Kaum pada 14 Februari 2003, tokoh-tokoh sejarah seperti Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Prof Dr Nik Anuar Mahmud dan Prof Datuk Dr Ramlah Adam gagal membuktikan bahawa Tunku Abdul Rahman dan Umno adalah pejuang kemerdekaan tulen, walaupun kertas-kertas kerja mereka berkisar tentang Tunku Abdul Rahman dan perjuang kemerdekaan.

Bahkan Tunku sendiri diakui oleh Ramlah Adam sebagai “pemimpin yang sesuai” yang diperhatikan oleh British untuk menggantikan Dato’ Onn Jaafar. Kerana itu, selepas Tunku menjadi Yang Dipertua Agung Umno, British segera menawarkan jawatan sebagai Ahli Majlis Perundangan Persekutuan kepada beliau untuk membolehkan beliau bergerak mengikut kehendak British.

Sejarah telah membuktikan bahawa Umno bukanlah sebuah parti yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan, tetapi sebagai parti reaktif terhadap Malayan Union kerana mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu. Sebagai parti konservatif feudal, Umno berslogankan “Hidup Melayu” ketika parti-parti Melayu yang bercakap soal merdeka.

Dan hal ini diakui oleh Tan Sri Abdul Samad Idris, bahawa Pemuda Umno Kuala Pilah yang dipengaruhi oleh PKMM telah membawa usul supaya Pemuda Umno Malaya menukarkan “Hidup Melayu” kepada “Merdeka” pada 1951. Pendirian Pemuda Umno ditolak oleh Dato’ Onn kerana menjaga hubungan dengan British.

Secara konkritnya, Umno hanya mula berjuang untuk kemerdekaan pada 1954 iaitu setelah mendapat ‘lampu hijau’ daripada British. Umno yang bersedia berunding dengan British dan sanggup melepaskan pelbagai kepentingan orang Melayu termasuk kedudukan agama Islam telah diterima oleh British sebagai wakil orang Melayu untuk diserahkan kemerdekaan.

“Kekosongan” perjuangan kemerdekaan Umno sebelum 1954 jelas terbukti bukan sahaja oleh tiga kertas kerja sempena memperingati Tunku Abdul Rahman, tetapi juga oleh sebuah lagi buku terbitan Jabatan Muzium dan Antikuiti, KeKKWa, “Di Atas Runtuhan Kota Melaka, Kita Dirikan Negara Baru” iaitu sebuah buku sejarah bergambar, terbitan Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 2003.

Buku ini hanya menunjukkan bahawa Umno mula bergerak untuk kemerdekaan bermula 7 Julai 1954 iaitu dalam usaha menuntut pilihanraya segera. Akhbar New Straits Times (NST), 31 Ogos 2005 dalam sisipan bertajuk “Road To Nationhood: The Formative Years – History As It Was Told”, hanya menunjukkan berdasarkan laporan akhbar tersebut bahawa penglibatan Umno bermula dengan tuntutan tarikh kemerdekaan yang diisytiharkan pada 20 Februari 1956.

Berita Harian pula, dalam sisipannya pada 31 Ogos 2005 bertajuk “Kelahiran Sebuah Negara Merdeka”, tidak dapat membuktikan kegiatan Umno untuk merdeka bermula daripada berundurnya Dato’ Onn pada 27 Ogos 1951 hingga Tunku mengetuai Rombongan Kemerdekaan pada 1 Januari 1956.

Persoalannya, mengapa sumber-sumber yang berautoriti seperti Jabatan Muzium, Jabatan Arkib, NST dan Berita Harian tidak dapat menunjukkan dengan jelas peranan Umno dalam perjuangan kemerdekaan antara 1945 hingga 1954?

Satu sahaja jawapannya, kerana Umno tidak terlibat dalam perjuangan kemerdekaan! Tetapi Umno bernasib baik kerana sikap pro British mereka, dan kesediaan Umno untuk menyerahkan hak-hak orang Melayu dan Islam kepada orang asing, maka British memilih Umno yang tidak berjuang untuk menerima kemerdekaan. Tokoh-tokoh ulamak dan pemimpin kiri yang berjuang semenjak sekian lama dibunuh, ditangkap, dipenjara dan tidak diberikan hak kemerdekaan ini.

Tunku Abdul Rahman diterima oleh British untuk merundingkan tarikh pilihanraya pada 1954, kemudian sebagai Ketua Menteri diterima pula untuk berunding bagi tarikh kemerdekaan. Dalam proses ini, Umno dan MCA telah mengemukakan cadangan-cadangan perlembagaan yang merugikan ketuanan Melayu kepada Suruhanjaya Reid.

Kita patut mengenang semula bagaimana Dr Burhanuddin al-Helmy merangka “Piagam Taiping” pada 1945 sebagai Draf Perlembagaan Malaya Merdeka untuk dipertimbangkan oleh Jepun, kemudian PUTERA-AMCJA mengemukakan “Perlembagaan Rakyat” pada 1947 yang menggariskan tentang kedaulatan Melayu dan hak-hak bangsa asing dalam negara merdeka dan menggantikan Malayan Union.

Peristiwa National Conference dan National Convention pada 1953 dan 1954 memperlihatkan bagaimana seriusnya parti-parti Melayu termasuk PAS, IMP, PMS dan lain-lain mempertahankan hak orang Melayu dan Islam dalam menuju kemerdekaan. Orang-orang Melayu telah membantah sikap Umno yang terlalu berlembut dengan orang asing dalam memorandum kepada Reid. Pada 4-7 Mei 1957, Kongres Kebangsaan Melayu II diadakan untuk membantah Laporan Reid, tetapi semua pandangan pejuang kemerdekaan ditolak mentah-mentah oleh British. Sebaliknya British menerima cara Umno serasi dengan kehendak penjajah itu.

YB Datuk Seri,

Daripada latar belakang gerakan kemerdekaan ini, jelas menunjukkan bahawa apa yang ditonjolkan oleh kerajaan selama ini adalah ‘penyembunyian fakta’, ‘pembohongan sejarah’ dan ‘jenayah akademik’ yang mesti diperbetulkan. KeKKWa sebagai sebuah kementerian yang bertangggungjawab terhadap perpustakaan, arkib dan muzium di negara ini sepatutnya berusaha untuk membongkarkan kisah sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Amat tidak adil apabila tokoh-tokoh yang lebih dahulu berjuang dan sememangnya merekalah yang berjuang untuk merdeka diabaikan oleh sejarah, sebaliknya mengangkat Umno yang bercakap soal merdeka mengikut telunjuk penjajah hanya bermula pada 1954 sebagai pejuang. PAS Kawasan Batu boleh menolak sepenuhnya penglibat Umno dalam kemerdekaan, tetapi tidak dapat menerima jika Umno sahaja dikatakan pejuang.

Maklumat-maklumat sejarah negara yang disimpan oleh KeKKWa sepatutnya didedahkan kepada rakyat dalam versi yang sebenar supaya rakyat bukan sahaja tahu, tetapi menghargai kemerdekaan ini.

Kita telah melihat bagaimana rakyat tidak begitu ghairah untuk menyambut kemerdekaan ini termasuk tidak mahu mengibarkan Jalur Gemilang, kerana rakyat sedar ia adalah propaganda politik Umno; kedua rakyat sendiri tidak nampak apa istimewanya kemerdekaan yang diperolehi di meja rundingan, mengikut telunjuk British dan tanpa perjuangan.

Kemerdekaan yang diperoleh secara murah dan mudah tidak mempunyai harga dan nilai di hati rakyat, lebih-lebih lagi bila dipropagandakan seolah usaha kemerdekaan dilalui tanpa perjuangan. Jika kerajaan bersikap terbuka dengan mengangkat tokoh-tokoh kemerdekaan negara yang sebenar dan memperlihatkan perjuangan dan pengorbanan mereka, sudah tentu ia lebih dihargai oleh rakyat dan amat dirasai nilai perjuangan tersebut. Maka berbaloilah mereka mengibarkan Jalur Gemilang itu.

PAS Kawasan Batu berharap supaya perjuangan kemerdekaan ini ditulis semula mengikut versi yang benar lagi adil. Para sarjana sepatutnya diberikan kebebasan untuk mendedahkan hakikat yang sebenar, dan sistem pendidikan sejarah di sekolah yang hanya menerima Umno sebagai pejuang kemerdekaan patut dirombak semula.

Memang ia satu propaganda, tetapi janganlah sampai menghilangkan jati diri rakyat. Kita sangat sedar bahawa tindakan “sarjana dalam istana” yang menulis beberapa baris sahaja daripada buku teks sekolah tentang perjuangan kumpulan bukan Umno terhadap kemerdekaan telah menyebabkan rakyat buta sejarah.

Masalah ‘hidden history’ atau pemalsuan fakta mesti dirungkaikan. KeKKWa boleh membentuk satu Jawatankuasa Pengkaji Sejarah di kalangan ilmuan dan pensyarah untuk mengenegahkan sejarah kemerdekaan negara secara tepat dan tidak berbau politik.

PAS Kawasan Batu juga mencadangkan supaya KeKKWa boleh menganugerahkan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan satu gelaran kehormat yang membolehkan keluarga terdekat pejuang ini menikmati beberapa imbuhan. Setidak-tidaknya diletakkan setaraf dengan gelaran “Sasterawan Negara” atau “Seniman Negara” kerana sumbangan mereka lebih besar daripada itu.

Satu contoh yang baik ialah tindakan kerajaan Indonesia yang menganugerahkan gelaran “Pahlawan Nasional Indonesia” kepada tokoh-tokoh kemerdekaan semenjak zaman Raja Haji Marhum Teluk Ketapang tanpa mengira parti politik dan fahaman mereka, semata-mata untuk mengenang jasa mereka terhadap negara. KeKKWa amat wajar berada di hadapan dalam soal ini kerana ia adalah warisan negara yang tidak dapat dicari ganti dan sangat bermakna.

Akhir sekali, PAS Kawasan Batu berharap supaya kerajaan bersikap lebih objektif dalam menyambut kemerdekaan pada tahun ini dan pada masa hadapan. Sikap yang terlalu berpolitik dengan propaganda palsu telah menyebabkan rakyat tidak lagi menghargai nilai sebuah kemerdekaan.

Mudah-mudahan perhatian pihak KeKKWa terhadap pandangan kami akan membentuk landskap baru sejarah politik negara.

Sekian, terima kasih.



Yang menjalankan amanah,

tt

HAJI ISHAK BIN SURIN
Yang Dipertua PAS Kawasan Batu
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS
Wilayah Persekutuan

No comments: