Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Saturday, July 28, 2007

Santai: Menelaah Masej Sinetron “Mutiara Hati”

Oleh RUGAYAH HAIRAN
Wartawan Bebas

“KENAPA hidup menjadi rumit begini ya...”. Ini antara keluhan Mas Aji (Aji Dermawan) kepada isterinya, Bak Arini dalam sinetron bersiri Indonesia, Mutiara Hati yang disiarkan 6 petang dari Isnin hingga Jumaat, di TV9.

Siapa yang tidak kenal Nabila, Mas Aji, Bak Arini dan watak “penyibuk” Anisah. Ku kira hanya anak-anak di bawah umur saja yang girang untuk menonton “Nabila” tetapi para ibu, bapa, anak gadis, ustazah, ahli politik dan pak ustaz juga turut terpegun dengan persembahan sinetron Indonesia ini.

Tepat jam 6 petang peminat setia Mutiara Hati terpacak di hadapan televisyen masing-masing. Anak-anak yang biasanya bermain hingga menjelang Maghrib terpaksa hentikan permainan semata-mata Mutiara Hati. Lebih 10 siri sudah ku tonton, ku amati dan perhalusi. Ternyata sinetron seberang laut itu mempunyai keistemewaan sehingga dapat menarik minat mungkin lebih jutaan penonton kecil, dewasa dan tua.

Walaupun ia hanya lakonan tetapi sinetron itu mempunyai mesej yang jelas dan penuh iktibar. Bak Arini satu watak yang cukup lembut, sabar, bertolak ansur, penyayang dan penuh tanggungjawab. Jika watak seperti itu diterjemahkan dalam melayari bahtera rumahtangga dan kehidupan pastinya, “Rumahku Syurguku” terus terlaksana. Tiada anak-anak yang terdera, gejala maksiat dapat ditangani dan sebagainya.

Arini terlalu sabar ketika didera fizikal dan mental oleh Salamah dan Suzen dalam keadaan tekanan perasaan kerana kehilangan suami tersayang. Kehilangan anak tirinya, Nabila, dipaksa mengaku kesalahan dan dihumbankan dalam penjara sehingga terpaksa berhadapan dengan muka-muka gangster. Dugaan yang ditanggung amat berat apatah lagi Arini sedang mengandung.

Apa sahaja penyeksaan dan rintangan yang dihalakan untuknya, beliau hanya mampu berdoa dan terus berdoa. Arini tidak gentar untuk menyampaikan kebenaran kepada penghuni-penghuni penjara walaupun beliau dikelilingi dengan gangster wanita.

Arini berjaya menyampaikan dakwah dalam penjara. Walaupun hidup sentiasa tertekan beliau terus berusaha menyedarkan para ibu dan wanita yang selama ini hidup bergelumbang dengan dosa. Beliau meninggalkan penjara dalam keadaan semua tahanan wanita sudah bertaubat. Ini satu pengajaran yang perlu diperhalusi oleh semua umat Islam yang memikul tugas sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Begitu juga adik ipar Mas Aji, Salamah dan suaminya, Iqbal yang banyak melakukan kejahatan terhadap Nabila dan Bak Arini, keluar dari rumah Arini setelah kembali ke pangkal jalan.

Penderitaan yang ditanggung oleh Arini hanya diluahkan kepada Allah SWT. Dampingan beliau terhadap Allah SWT ternyata rapat. Mulutnya sentiasa beristighfar, menyebut Allah, mengaji, solat, berdoa tanpa merujuk kepada orang lain untuk menyelesaikan atau meleraikan kedukaan hatinya.

Anak kecil yang cerdik dan petah bercakap - Nabila bukan sahaja menjadi “Mutiara” dalam kerukunan rumahtangga Mas Aji dan Arini, bahkan Tante Nuna dan Leo serta rakan sekolahnya amat menyenangi. “Bocah” kecil ini sentiasa mendampingi Allah. Apa sahaja kesulitan bocah cerdik ini terus berhubung dengan Allah.

Saya terpikat dengan lakonan Nabila ketika dicolek Tante Suzen dan dilarikan dalam hutan, budak cerdik ini boleh bertayamum dan solat dalam keadaan matanya buta. Dalam keadaan diugut, buta, lapar, ketakutan tapi solat tak tinggal! Kita yang hidup dalam kesenangan, kemewahan, baru disembur dengan water canon dan diugut dengan FRU... dengan mudah terlupa nak solat Zuhor dan Asar, silap-silap sampai Maghrib.

Aduhai! sanggupkah kita melemparkan senyuman kepada orang yang meludah muka kita? Bolehkah kita bertahan dan terus berdakwah kepada orang yang sering mengkhianati kita?

Puas ku renung, jenuh ku tilek terlalu berat untuk memikul peranan yang dilakonkan oleh watak Arini dan Nabila. Terlalu berat. Walaupun watak Nabila dan Bak Arini hanya sekadar lakonan tetapi ia cukup meninggalkan kesan dalam kehidupan seharian seterusnya memikul tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Justeru, senitron Mutiara Hati itu bukan sekadar untuk tatapan sementara menunggu waktu Maghrib tetapi ia penuh mesej khasnya kepada umat Islam. Secara tidak langsung ia menjadi tamparan hebat kepada industri filem negara, penerbit drama dan filem, bahawa tidak perlu adegan ranjang, berkemban, berpeluk, bercium untuk melariskan filem atau drama.

Apa yang lebih penting dari itu, mesej yang jelas dan sinopsis yang menarik dapat memikat hati penonton pelbagai lapisan.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my

No comments: