Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Thursday, July 26, 2007

PAS Batu Tubuh Akademi Penerangan & Perkenal Beberapa Produk Baru

Oleh ABDUL MANAN ABDUL GHANI
Bendahari Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu, KL

Bandar Baru Sentul: PAS Kawasan Batu bertindak menubuhkan Akademi Penerangan bagi menggerak dan memperkasakan parti sebagai menyahut saranan Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa agar PAS menguasai ibukota pada masa depan.

Husam ketika memberikan ucaptama pada Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan yang bertemakan “PAS Kuasai Ibukota” mahukan parti itu muncul sebagai pemimpin tindakan yang berkesan dalam menangani sebarang isu dan permasalah warga kota.

Ketua Penerangan PAS Batu, Sdra. Tarmizi Mohd Jam berkata, atas kesedaran itu maka semua kepimpinan PAS pelbagai peringkat di kawasan Batu tidak terlepas dari mengikuti pelbagai program kursus dan latihan ke arah memperkasakan parti secara sistematik dan strategik.

Ia bertujuan bagi mempastikan semua petugas parti dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab secara berilmu, cekap dan pantas dan bukannya dalam situasi terpinga-pinga.

“Kalau kita lihat, modal insan yang ramai dalam PAS tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Mereka tidak digilap. Tidak ada kursus dan latihan berkaitan dengan kebolehan serta keupayaan mereka.

“Mereka pegang macam-macam jawatan, tetapi tidak menjadi petugas yang mahir dan cekap. Malah lebih ramai lagi hanya jadi ahli kosong saja. Maksudnya masuk PAS tak dapat apa-apa ilmu atau kemahiran berkaitan. Kita kena betulkan sindrom ini!” tegas beliau ketika ditemui selepas Mesyuarat PAS Kawasan Batu, semalam yang diadakan di markaznya, di Taman Melewar.

Akademi Penerangan diketuai oleh Pengarahnya, Sdra. Ibrahim Awang yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan, Dakwah dan Teknologi Maklumat.

Melalui lajnah ini juga, PAS Kawasan Batu turut menggerakkan tiga lagi enjin pemicu dalam usaha nekad menjana kekuatan parti selepas muktamar ini. Ketiga-tiga enjin tersebut ialah Unit Penerangan dan Teknologi Maklumat yang diketuai oleh Sdra. Ridhuan Ariffin, Unit Penyelidikan dan Propaganda diketuai oleh Mohd Yazid Ahmad dan Unit Kemajuan Dakwah diketuai oleh Sdra. Mazlan Shariff.

Ketiga-tiga unit ini akan bertindak merancang dan menyediakan plan tindakan untuk perlaksanakan peringkat lajnah. Berapa program dan produk baru turut diperkenalkan kepada masyarakat termasuklah Debat Kontemporari Siasah dan Santai Minda yang bakal diadakan setiap bulan dengan melibatkan pelbagai tokoh politik, NGO, artis dan individu tersohor di negara ini.

EDITOR: Anda boleh menghantar berita, rencana dan nukilan kreatif seperti cerpen dan puisi politik atau tip-tip yang boleh dikongsikan kepada editor blog melalui email - editorxkutif@yahoo.com.my

1 comment:

Abu Anas said...

Ujian, ujian, 1,2,3...3,2,1.