Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan

PAS Kawasan Batu Mengorak Langkah Sebagai Kawasan Contoh Bandar
Dalam Merialisasikan Hasrat Negara Berkebajikan!
Insya-Allah Kami Menuju Ke Sana...

Saturday, July 28, 2007

Interbiu Xkusif: Murtad Guna Mahkamah, Ikut Undang-Undang?

Muqqadimmah: Isu murtad tidak ditangani pantas oleh kerajaan. Pendedahan Mufti Perak diperlekehkan. PM meminta rakyat tidak membincangkan isu ini kerana sensitif. Tetapi gerakan anti Islam terus berlangsung atas pelbagai nama. IFC dikemukakan. Ikuti cerapan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, USTAZ IDRIS Hj. AHMAD berkenaan isu kontroversi ini bersama Editor Blogpasbatu.Com, TARMIZI MOHD JAM.

TARMIZI: Dari segi kelemahan dalam kes Rafie Syazwan. Dia orang Islam, saudara baru; bila meninggal dunia, mayatnya dituntut dan kemudiannya dibakar mengikut upacara agama Hindu. Di mana lemahnya pihak kerajaan dalam isu seumpama ini?

Apa yang kita lihat, ialah sikap biadap keluarga Rafie Syazwan ini yang tidak menghormati agama Islam yang dianuti oleh Rafie sejak lima enam tahun itu. Sebenarnya keluarganya tahu, Rafie itu sudah lama Islam. Sejarahnya, allahyarham pernah buat open house di rumahnya untuk bagi tahu bahawa dia tu orang Islam. Tiba-tiba mayatnya terus dibakar. Nak menunjukkan tentang sikap dan biadapnya yang tidak menghormati anutan Rafie yang sudah menganut Islam.

Bagaimana Ustaz melihat kes Moorthy…

Saya rasa mereka (keluarga Rafie) mengambil pengalaman dalam kes Moorthy dulu. Jadi mereka terus membakar mayat itu kerana tidak mahu terikat dengan pelbagai birokrasi dan akhirnya mayat akan disemadikan mengikut ajaran Islam. Walaupun orang pejabat agama datang, tapi mayat dah hanguspun.

Ekoran dari beberapa kes itu timbul IFC. Kemudian Pak Lah buat satu kenyataan isu-isu ini tidak boleh dibincangkan secara terbuka. Disenyapkan dengan alasan isu ini sensitif untuk dibincangkan oleh semua pihak. Boleh tak isu ini di atasi dengan menghalang ianya dibincangkan.

Kenyataan Pak Lah itu amat merugikan ummat Islam yang sedia sudah lemah dalam soal untuk mempertahankan aqidah mereka sendiri. Kita lihat, bagaimana beberapa sekatan program dilakukan. Berlaku sekatan di Kuala Kangsar untuk bincang isu ini di Masjid Ridzuaniah. Dihalang kerana kononnya perkara ini tidak boleh dibincang. Ini satu tindakan yang merugikan. Sedangkan kita tengok gerakan untuk murtadkan orang Islam ini, mereka tidak pernah diam. Mereka gunakan dengan berbagai-bagai cara mereka. Melalui sudut perundangan, kononnya atas hak asasi, atas perbincangan intelektual dan yang terbaru ini kita lihat mereka mengedar komik yang menceritakan tentang Jesus dan diberi percuma kepada kanak-kanak. Kenapa perkara ini tidak dihalang kepada mereka? Sedangkan orang Islam yang nak bincang isu ini, disekat. Kenyataan Datuk Harussani 250,000 murtad, menggambarkan isu ini sudah kritikal. Tiba-tiba kita dihalang untuk membincangkannya. Sedangkan mereka (IFC) berada pada posisi yang kuat, kita diposisi yang lemah.

Maknanya tindakkan Pak Lah ini lebih merugikan kepada orang Islam. Dalam masa yang sama 14 tuntutan IFC itu pun juga menekan orang-orang Islam. IFC jadi jaguh untuk murtadkan orang Islam. Seolah-olah disokong oleh pihak kerajaan. Di mana nilai sensitifnya (yang dikatakan oleh Pak Lah) isu ini?

Kita sebenarnya memiliki seorang PM yang sensitif pada perkara yang tak perlu sensitif. Yang patut sensitif dia tak sensitif. Malanglah nasib kita. Dapat PM yang kredibilitinya begitu dalam menangani perkara tadi. Sepatutnya, perkara ini tak boleh dianggap sensitif kerana kita bincang mengenai hak orang Islam. Kita tak pernah ganggu agama lain macam IFC nak ganggu agama kita. Kononnya mereka mengatakan, kenapa pula orang bukan Islam tidak ada halangan untuk nak masuk Islam? Kita tanya balik, adakah agama awak ada penghalang nak masuk agama lain? Agama kami ada peraturan. Kronologinya mudah. Bila kita masuk Islam kena mengucap dua kalimah syahadah. Ini orang panggil aku janji macam kita beli rumah ada SMP. Ini peraturan biasa. Jadi, bila ada orang nak masuk Islam kita jelaskan perkara ini. Bukan masuk Islam kerana nak kahwin atau kerana sebab-sebab tertentu.

Pada pandangan Ustaz, adakah umat Islam menolak prinsip dialog atau wacana bebas ini… dalam membincangkan isu-isu sensitif .

PAS pernah mengadakan beberapa kali sesi dialog ini. Berkenaan Enakmen Syariah Terengganu. Isu hudud. Kita berdialog. Kita jawab tuduhan dan kekeliruan bukan Islam terhadap Islam. Yang tak mahu dialog ialah mereka yang suka mempertikaikan kebenaran. Ini masalahnya. Kita terangkan tapi dia nak samakan apple dengan orange. Jadi payahlah. Ulama-ulama kita bersedia untuk berdialog kerana kita terbuka.

Berkenaan tentang wujudnya kumpulan-kumpulan seperti Sister in Islam, Islam Liberal termasuklah Kumpulan Artikel 11 yang terbaru, merupakan pemain Islam yang liberal dengan cuba melihat secara adil matematik. Macam mana perkembangan ini…tidak dihalang oleh pihak kerajaan!

Ini satu lagi indikator yang menunjukkan tentang kerajaan yang ada pada hari ini dia tidak berusaha untuk nak memelihara aqidah orang Islam. Mereka juga tidak berusaha untuk membela ekonomi orang Islam. Ekonomi bangsa yang terlepas kepada orang lain. Walaupun kita tengok, PMnya orang Melayu, MBnya orang Melayu, Exconya orang Melayu tapi Dasar Ekonomi Baru gagal. Kemudian kita ada pula dasar yang baru tapi ekuiti orang Melayu makin teruk. Gagal semacam hinggalah dalam bab-bab agamapun nampaknya mereka (Umno) tak boleh jaga. Zaman dulu, mak bapa cukup jaga aqidah dan pendidikan agama anak-anak walaupun ekonominya lemah. Sekarang tak berlaku macam itu.

Murtad sekarang cukup membimbangkan. Macam-macam cara yang rasmi boleh digunakan oleh orang Islam nak murtad. Melalui undang-undang dan bijak juga menggunakan mahkamah. Apa yang mendorong mereka murtad?

Ada banyak faktor. Pertama, mereka tak dapat pendedahan Islam yang sebenar. Mereka hanya faham Islam dalam bentuk yang sempit. Islam pada mereka macam pergi haji, puasa, zakat, nikah cerai dan urus orang mati. Yang keduanya, mereka tidak didedahkan tentang perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah macam yang mereka faham tentang perkara-perkara yang membatalkan wuduk dan solat. Mereka tak tahu ada perkara yang batalkan Islam.
Ketiga, media-media tidak fokus terutamanya media elektronik termasuk televisyen dan sebagainya. Yang dibincang dalam tv itu bukan darihal penyakit ummat. Penyakit umat ialah gejala murtad. Tak faham Islam. Yang dibincang berkenaan aspek-aspek yang tidak ada kaitan dengan penyakit umat. Sepatutnya kita sebagai seorang pendakwah, mestilah fokus kepada penyakit semasa yang dihadapi oleh ummat. Kalau sakit kepala bagi ubat sakit perut, mana sakit nak hilang.
Keempatnya kita membiarkan orang-orang yang tidak ada latarbelakang agama bercakap atau memperkatakan perkara agama. Mereka tidak mahir dalam bidang agama.
Yang kelima, terlalu banyak program-program hiburan macam realiti tv yang digalakkan oleh pihak kerajaan. Dibiarkan secara berleluasa yang menyeret anak-anak muda kita jauh dari beriman kepada Allah SWT. Ada Mentor, Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mencari Cinta dan macam-macam lagi.
Keenam, pihak kerajaan terus menyekat program-program agama. Tazkirah Ramadhan tak dibenarkan. Ceramah disekat. Patutnya tazkirah bulan puasa ini diambil kesempatan untuk kita menyampaikan dakwah kepada ummat. Kerana dalam dua keadaan ummat Islam ramai berkumpul iaitu pada solat Jumaat dan solat Terawih. Mengapa kita tak guna kesempatan ini untuk menanamkan kecintaan aqidah kepada umat.
Akhir sekali kerana tiadanya undang-undang murtad dilaksanakan di negara kita. Jadi orang tak takut murtad sebab tak kena hukum. Misal kata kes Lina Joy ni menang di pihak JAWI, tak ada ertinya juga. Murtad tetap murtad tapi tak boleh hukum mereka. Inilah masalahnya.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my

Santai: Menelaah Masej Sinetron “Mutiara Hati”

Oleh RUGAYAH HAIRAN
Wartawan Bebas

“KENAPA hidup menjadi rumit begini ya...”. Ini antara keluhan Mas Aji (Aji Dermawan) kepada isterinya, Bak Arini dalam sinetron bersiri Indonesia, Mutiara Hati yang disiarkan 6 petang dari Isnin hingga Jumaat, di TV9.

Siapa yang tidak kenal Nabila, Mas Aji, Bak Arini dan watak “penyibuk” Anisah. Ku kira hanya anak-anak di bawah umur saja yang girang untuk menonton “Nabila” tetapi para ibu, bapa, anak gadis, ustazah, ahli politik dan pak ustaz juga turut terpegun dengan persembahan sinetron Indonesia ini.

Tepat jam 6 petang peminat setia Mutiara Hati terpacak di hadapan televisyen masing-masing. Anak-anak yang biasanya bermain hingga menjelang Maghrib terpaksa hentikan permainan semata-mata Mutiara Hati. Lebih 10 siri sudah ku tonton, ku amati dan perhalusi. Ternyata sinetron seberang laut itu mempunyai keistemewaan sehingga dapat menarik minat mungkin lebih jutaan penonton kecil, dewasa dan tua.

Walaupun ia hanya lakonan tetapi sinetron itu mempunyai mesej yang jelas dan penuh iktibar. Bak Arini satu watak yang cukup lembut, sabar, bertolak ansur, penyayang dan penuh tanggungjawab. Jika watak seperti itu diterjemahkan dalam melayari bahtera rumahtangga dan kehidupan pastinya, “Rumahku Syurguku” terus terlaksana. Tiada anak-anak yang terdera, gejala maksiat dapat ditangani dan sebagainya.

Arini terlalu sabar ketika didera fizikal dan mental oleh Salamah dan Suzen dalam keadaan tekanan perasaan kerana kehilangan suami tersayang. Kehilangan anak tirinya, Nabila, dipaksa mengaku kesalahan dan dihumbankan dalam penjara sehingga terpaksa berhadapan dengan muka-muka gangster. Dugaan yang ditanggung amat berat apatah lagi Arini sedang mengandung.

Apa sahaja penyeksaan dan rintangan yang dihalakan untuknya, beliau hanya mampu berdoa dan terus berdoa. Arini tidak gentar untuk menyampaikan kebenaran kepada penghuni-penghuni penjara walaupun beliau dikelilingi dengan gangster wanita.

Arini berjaya menyampaikan dakwah dalam penjara. Walaupun hidup sentiasa tertekan beliau terus berusaha menyedarkan para ibu dan wanita yang selama ini hidup bergelumbang dengan dosa. Beliau meninggalkan penjara dalam keadaan semua tahanan wanita sudah bertaubat. Ini satu pengajaran yang perlu diperhalusi oleh semua umat Islam yang memikul tugas sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Begitu juga adik ipar Mas Aji, Salamah dan suaminya, Iqbal yang banyak melakukan kejahatan terhadap Nabila dan Bak Arini, keluar dari rumah Arini setelah kembali ke pangkal jalan.

Penderitaan yang ditanggung oleh Arini hanya diluahkan kepada Allah SWT. Dampingan beliau terhadap Allah SWT ternyata rapat. Mulutnya sentiasa beristighfar, menyebut Allah, mengaji, solat, berdoa tanpa merujuk kepada orang lain untuk menyelesaikan atau meleraikan kedukaan hatinya.

Anak kecil yang cerdik dan petah bercakap - Nabila bukan sahaja menjadi “Mutiara” dalam kerukunan rumahtangga Mas Aji dan Arini, bahkan Tante Nuna dan Leo serta rakan sekolahnya amat menyenangi. “Bocah” kecil ini sentiasa mendampingi Allah. Apa sahaja kesulitan bocah cerdik ini terus berhubung dengan Allah.

Saya terpikat dengan lakonan Nabila ketika dicolek Tante Suzen dan dilarikan dalam hutan, budak cerdik ini boleh bertayamum dan solat dalam keadaan matanya buta. Dalam keadaan diugut, buta, lapar, ketakutan tapi solat tak tinggal! Kita yang hidup dalam kesenangan, kemewahan, baru disembur dengan water canon dan diugut dengan FRU... dengan mudah terlupa nak solat Zuhor dan Asar, silap-silap sampai Maghrib.

Aduhai! sanggupkah kita melemparkan senyuman kepada orang yang meludah muka kita? Bolehkah kita bertahan dan terus berdakwah kepada orang yang sering mengkhianati kita?

Puas ku renung, jenuh ku tilek terlalu berat untuk memikul peranan yang dilakonkan oleh watak Arini dan Nabila. Terlalu berat. Walaupun watak Nabila dan Bak Arini hanya sekadar lakonan tetapi ia cukup meninggalkan kesan dalam kehidupan seharian seterusnya memikul tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Justeru, senitron Mutiara Hati itu bukan sekadar untuk tatapan sementara menunggu waktu Maghrib tetapi ia penuh mesej khasnya kepada umat Islam. Secara tidak langsung ia menjadi tamparan hebat kepada industri filem negara, penerbit drama dan filem, bahawa tidak perlu adegan ranjang, berkemban, berpeluk, bercium untuk melariskan filem atau drama.

Apa yang lebih penting dari itu, mesej yang jelas dan sinopsis yang menarik dapat memikat hati penonton pelbagai lapisan.

EDITOR: Sesiapa sahaja boleh menghantar berita, rencana, cerpen dan puisi politik, program dan aktiviti, tip-tip pilihan, untuk siaran dan dikongsi bersama. Emelkan kepada editorxkutif@yahoo.com.my

Thursday, July 26, 2007

CERAMAH MEGA 50 TAHUN MERDEKA:
UMNO BUKAN PERINTIS KEMERDEKAAN TETAPI TALIBARUT PENJAJAH BRITISH!

Pemidato Khas:
Dr. Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff (Pengarah CERI dan mantan Pensyarah Sains Politik UKM)
Cikgu Ishak Surin (Mantan Setiausaha Agung Partai Rakyat sewaktu Ahmad Boestaman jadi Presiden dan Pengasas Partai Marhain. Pernah ditahan ISA)
Pada 30hb. Julai 2007 (Isnin) Jam 9.30 Malam
PASTI Kg. Padang Balang, Sentul.

Orang ramai dijemput hadir dan sila panjangkan maklumat ini kepada sasaran!

PAS Batu Tubuh Akademi Penerangan & Perkenal Beberapa Produk Baru

Oleh ABDUL MANAN ABDUL GHANI
Bendahari Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu, KL

Bandar Baru Sentul: PAS Kawasan Batu bertindak menubuhkan Akademi Penerangan bagi menggerak dan memperkasakan parti sebagai menyahut saranan Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa agar PAS menguasai ibukota pada masa depan.

Husam ketika memberikan ucaptama pada Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan yang bertemakan “PAS Kuasai Ibukota” mahukan parti itu muncul sebagai pemimpin tindakan yang berkesan dalam menangani sebarang isu dan permasalah warga kota.

Ketua Penerangan PAS Batu, Sdra. Tarmizi Mohd Jam berkata, atas kesedaran itu maka semua kepimpinan PAS pelbagai peringkat di kawasan Batu tidak terlepas dari mengikuti pelbagai program kursus dan latihan ke arah memperkasakan parti secara sistematik dan strategik.

Ia bertujuan bagi mempastikan semua petugas parti dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab secara berilmu, cekap dan pantas dan bukannya dalam situasi terpinga-pinga.

“Kalau kita lihat, modal insan yang ramai dalam PAS tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Mereka tidak digilap. Tidak ada kursus dan latihan berkaitan dengan kebolehan serta keupayaan mereka.

“Mereka pegang macam-macam jawatan, tetapi tidak menjadi petugas yang mahir dan cekap. Malah lebih ramai lagi hanya jadi ahli kosong saja. Maksudnya masuk PAS tak dapat apa-apa ilmu atau kemahiran berkaitan. Kita kena betulkan sindrom ini!” tegas beliau ketika ditemui selepas Mesyuarat PAS Kawasan Batu, semalam yang diadakan di markaznya, di Taman Melewar.

Akademi Penerangan diketuai oleh Pengarahnya, Sdra. Ibrahim Awang yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan, Dakwah dan Teknologi Maklumat.

Melalui lajnah ini juga, PAS Kawasan Batu turut menggerakkan tiga lagi enjin pemicu dalam usaha nekad menjana kekuatan parti selepas muktamar ini. Ketiga-tiga enjin tersebut ialah Unit Penerangan dan Teknologi Maklumat yang diketuai oleh Sdra. Ridhuan Ariffin, Unit Penyelidikan dan Propaganda diketuai oleh Mohd Yazid Ahmad dan Unit Kemajuan Dakwah diketuai oleh Sdra. Mazlan Shariff.

Ketiga-tiga unit ini akan bertindak merancang dan menyediakan plan tindakan untuk perlaksanakan peringkat lajnah. Berapa program dan produk baru turut diperkenalkan kepada masyarakat termasuklah Debat Kontemporari Siasah dan Santai Minda yang bakal diadakan setiap bulan dengan melibatkan pelbagai tokoh politik, NGO, artis dan individu tersohor di negara ini.

EDITOR: Anda boleh menghantar berita, rencana dan nukilan kreatif seperti cerpen dan puisi politik atau tip-tip yang boleh dikongsikan kepada editor blog melalui email - editorxkutif@yahoo.com.my

Wednesday, July 25, 2007

TVBATU AKAN MENEMUI ANDA TAK LAMA LAGI

As'salam'mualaikum kepada pelayar Blogpasbatu.com. Salam Perkenalan. Blog ini masih dalam pembinaan. Kami akan memberikan persembahan terbaik untuk layaran anda. Selain memuatkan berita, rencana, interbiu, cerpen politik, pojok, berita bergambar; kami akan menampilkan TVBATU untuk tatapan anda. Tunggu kemunculan dan pelancaran BLOG PAS BATU beserta TVBATU ini sepenuhnya tidak lama lagi! - Editor

ISU: BALA TUHAN "GODAM" KUALA LUMPUR: Pengajaran Buat Pak Lah!



Oleh TARMIZI MOHD JAM
Exco & Ketua Unit Media Lajnah Hal Ehwal Pekerja
& Peneroka Bandar
PAS Pusat / Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu


WARGA KOTA dikejutkan dengan “tsunami” dahsyat menyelubungi Kuala Lumpur, Ahad lalu pada sebelah malamnya (10hb. Jun 2007) sehari selepas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi diijabkabulkan dengan Jeanne Abdullah.

Hujan yang mencurah turun, tidak disangka menjadi bala Tuhan yang menggodam ibu negara. Segala kecanggihan terkini, tiada nilainya lagi. DBKL dan aneka perancangan bandarnya, tidak upaya membungkus bala Tuhan yang datang mendadak itu. Semuanya akur, menerima takdir illahi.

Jalan utama menjadi kaku. Air melimpah ruah lebih dari satu meter. Tiada lagi jalan bertar kelihatan di Jalan Masjid India dan Jalan Ipoh. Kampung Baru, Keramat, Kampung Chubadak dan Sentul tenggelam teruk.

Paling dahsyat, air banjir turut menjenguk sehingga ke ruang sembahyang Masjid Jamek, Jalan Raja yang terletak betul-betul dipertembungan dua sungai iaitu Sg. Gombak dan Sg. Klang. Masjid klasik itu terletak kira-kira 10 meter dari paras normal kedua-dua sungai berkenaan.

Dataran Merdeka turut berselimut air separas pinggang (seperti bendang luas yang melaut di Yan, Kedah) hingga memburukkan pandangan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad. Tidak diketahui, bagaimana nasib peniaga dan barangan dagangan mereka yang menjalankan bisnes di bawah perut Dataran Merdeka itu.

Pernah sekali dulu, air menerjah masuk ke pusat perniagaan di bawah perut Dataran Merdeka itu. Akibat dari banjir kilat juga. Tetapi tidak seteruk Ahad lalu. Namun, kerugiannya mampu untuk melingkupkan peniaga Bumiputera dan menambahkan penganggur.

Di Kuala Lumpur, ketakutan dan kekalutan yang amat sangat bila hujan turun ialah kesesakan lalu lintas. Jika kereta tiada penghawa dingin, sudah tentu penghuninya pitam dan pengsan. Namun, kesesakan kali ini, amat menakutkan. Berjam-jam lamanya!

Entah berapa lama kenderaan terkandas di jalan raya, tidak diketahui dengan tepat. Hujan lebat bermula sebelum jam 6 petang dan berlarutan hingga jam 9 malam, telah melumpuhkan ibu kota. Kenderaan dimasuki air dan penghuninya diselamatkan oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Kali ini, banjir benar-benar menggodam ibu kota walaupun tidak seteruk banjir 1971. Ketika itu, beberapa kampong di Selangor dan Kuala Lumpur dibungkusi banjir termasuklah Kg.Haji Abdullah Hukum, Kg. Baru, Semenyih, Kg. Arang Batu dan penempatan Orang-Orang Asli Changkat Bintang di Hulu Selangor.

Ibu kota ketika itu terputus hubungan terus dengan dunia luar dan pasaran saham terpaksa dihentikan kerana seluruh Kuala Lumpur digodam banjir dahsyat.

Tetapi, banjir Ahad lalu dilaporkan paling teruk melanda Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru. Bot-bot penyelamat juga gagal mengesan dan menyelamat mangsa kerana terperangkap teruk dicelah-celah hutan batu dan kesesakan trafik.

Seperti tsunami menggodam Acheh, kerajaan tetap dipersalahkan kerana gagal memberi isyarat awal. Dalam isu ini, apakah peranan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan DBKL? Mereka gagal memberi amaran awal kepada para penduduk bagi menghadapi banjir ini.

Kenaikan air di Sg. Gombak, Sg. Batu dan Sg. Kerayong telah diketahui lebih cepat tetapi tiada amaran dikeluarkan oleh mereka termasuklah Jabatan Bomba sehingga beberapa kawasan sudah terhantuk baru terngadah, ditenggelami air.

Menurut rekod, sudah tiga kali banjir menggodam ibu kota pada tahap yang sama. Projek Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) masih gagal berfungsi sekalipun Menteri Kerja Raya, Samy Vellu telah mengumumkan (menipu) SMART siap sepenuhnya. Walhal, kolam tadahan air di Kg. Brembang dan Taman Desa, belum siap dan SMART hanya boleh digunakan Julai ini.

Tiba-tiba, bagi membungkus pekung di dada, Samy mengumumkan kadar tol RM2.00 untuk pengguna SMART keesokan harinya (11hb. Jun 2007). Langkah ini disifatkan sebagai kurang ajar. Tidak peka dan menyakitkan hati.

Rakyat rasanya mula tidak yakin dengan JKR dan Samy. Banyak projek yang retak, runtuh dan sengit. Semuanya telah diluluskan dan mengikut piawaian. Apakah SMART selamat digunakan? Khuatir juga, takut-takut pengguna tenggelam dalam terowong yang belum siap sepenuhnya itu.

Kebiadapan Samy Vellu ini sebenarnya simbol keangkuhan BN di Malaysia. Belum reda lumpur dibersihkan, trauma kesesakan masih muda; Samy sudah memberi “hadiah” kepada warga kota yang terperangkap Ahad lalu dengan dikenakan tol RM2 bagi penggunaan SMART.

Sama ada benar atau tidak keupayaan SMART boleh mengurangkan kesesakan trafik dan membuang air banjir kilat di ibu kota, belum teruji. Secara teorinya, inilah satu lagi mercu tanda penemuan terhebat negara dalam menyelesaikan dua masalah tersebut.

Namun, bala Tuhan yang menggodam ibu kota Ahad lalu tetap membuktikan betapa hebatnya Allah SWT dan lemahnya manusia dalam pembikinan teknologi dan cara berfikir mereka.

Rupa-rupanya, bangunan Menara KLCC yang tertinggi mencakar langit, Menara Kuala Lumpur yang angkuh berdiri, Terowong SMART yang tercari-cari arah; membungkus seribu kelemahan dan ketololan manusia berdepan dengan “kekuatan” air yang menjadi sebahagian tentera ciptaan Allah.

Bagi orang yang beriman, lihatlah banjir itu sebagai bala dari Allah atas kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini!

EDITOR: Anda boleh menghantar berita, rencana dan nukilan kreatif seperti cerpen dan puisi politik atau tip-tip yang boleh dikongsikan kepada editor blog melalui email - editorxkutif@yahoo.com.my

CIKGU ISHAK SURIN KETUAI SEMULA PAS KAWASAN BATU

Oleh MOHD SHARBI KAMARULZAMAN
Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu, KL

Kuala Lumpur: Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Cikgu Ishak Surin buat kali kedua dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, setelah memangku jawatan itu sebelum ia dikosongkan ekoran pengunduran Ustaz Ibrahim Mohd Raja, tahun lalu.

Cikgu Ishak pernah dipilih kali pertama ke jawatan tersebut selepas pengunduran Yang Dipertuanya yang pertama, Ustaz Nakhaei Haji Ahmad penghujung tahun 80an.

Dalam Mesyuarat Agung ke 22 baru-baru ini, Haji Suhaimi Abdul Rahman yang dulunya Naib Yang Dipertua dipilih Timbalan Yang Dipertua dan Haji Jamhor Nawawi, yang dulunya pemangku Naib Yang Dipertua dipilih mengisi ke jawatan tersebut.

Ustaz Azhar Yahya pula dipilih Ketua Urusan Ulama menggantikan Ustaz Awang Mamat.

Sementara itu, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, mengekalkan ketua masing-masing Sdra. Rafie Abdul Razak dan Hajjah Salbiah Abdul Wahab yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.



Dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS kali pertama, Haji Ismail Yahya dilantik semula menjadi Setiausaha sementara muka baru, Sdra. Tarmizi Mohd Jam yang juga Setiausaha Jabatan Pilihan Raya (JPN) Wilayah Persekutuan dilantik Ketua Penerangan.

PAS Kawasan Batu pernah dipimpin oleh Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Nakhaie Haji Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ir. Haji Khalid Abdul Samad, bekas Ketua Pemuda PAS Wilayah, Allahyarham Yusuf Sulaiman, Shamsudin Yaakob dan Ustaz Ibrahim Mohd Raja.

PAS Kawasan Batu adalah antara lima kawasan PAS di Wilayah Persekutuan yang paling aktif dan melahirkan ramai pemimpin diperingkat negeri, selain Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Titiwangsa.

EDITOR: Anda boleh menghantar berita, rencana dan nukilan kreatif seperti cerpen dan puisi politik atau tip-tip yang boleh dikongsikan kepada editor blog melalui email - editorxkutif@yahoo.com.my